Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘lumayan’

Hobi buat hidangan petang mampu jana ekonomi keluarga

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Bermula sebagai hidangan ringan untuk keluarga, siapa sangka hobi membuat kuih loyang atau dikenali juga bunga durian akhirnya berkembang menjadi sumber pendapatan lumayan walaupun hanya diusahakan di rumah.

Bagi Hayati Ngah, 48, dari Kampung Banggol Tuan Muda, Manir dia sememangnya tidak menyangka hobi membuat kuih bunga durian yang diwarisi daripada ibunya bertukar menjadi sumber ekonomi keluarga yang mendatangkan hasil lumayan, malah hampir menyamai pendapatan suaminya sebagai guru besar

Beliau berkata, perusahaan itu bermula tiga tahun lalu apabila kuih dibekalkan untuk anaknya di asrama turut menjadi kegemaran rakannya yang kemudian meminta membeli kuih dalam jumlah banyak, dua kotak besar seminggu.

Bermula dari situ, Hayati menyedari bahawa kuih tradisional berkenaan masih digemari dan mempunyai potensi dikembangkan memandangkan tidak ramai pengusaha makanan berminat mengusahakan pengeluaran kuih berkenaan.

“Saya mula belajar membuat kuih ini sejak remaja daripada ibu dan ia menjadi hidangan ringan kegemaran kami sekeluarga, malah anak-anak saya turut meminati kuih ini kerana rasanya yang enak dan rangup.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka masih ramai terutama golongan muda yang menggemari kuih ini kerana biasanya kanak-kanak sekarang lebih suka makan kek atau biskut yang kebanyakannya mengandungi banyak gula dan pewarna yang tidak elok untuk kesihatan.

“Berikutan permintaan menggalakkan daripada jiran, saya terfikir untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan di rumah dengan bantuan suami dan anak-anak. Lagipun saya ingin mempopularkan semula kuih bunga durian yang semakin dipinggirkan dan tidak lagi dikenali oleh generasi sekarang,” katanya.

Menggunakan jenama Berkat Hayati Food Enterprise, Hayati mula memasarkan produknya di kedai kecil di sekitar kampung dan semakin hari permintaannya semakin meningkat sehingga menyebabkan dia terpaksa mengehadkan tempahan kerana kesuntukan masa dan tidak mempunyai pekerja membantunya.

“Ketika mula berniaga, saya ada memasarkan produk ini di kedai runcit dan gerai makan sekitar sini, tetapi selepas ia semakin dikenali, ramai pelanggan membuat tempahan terus dari rumah dalam kuantiti banyak menyebabkan saya terpaksa memberi tumpuan kepada tempahan saja.

Read Full Post »


ABDULLAH SALLEH, 62 (kanan), bersama Wahab, memetik rock melon untuk dipasarkan di Kampung Pela, Ajil, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Projek tani ubah nasib penduduk miskin Kampung Pela

KUALA BERANG (Berita harian): Pernahkah kita terfikir buah-buahan yang kita makan atau yang dihidangkan dalam penerbangan adalah daripada hasil tanaman menggunakan teknik fertigasi yang diusahakan sekumpulan penduduk termiskin Kampung Pela di Hulu Terengganu.

Jika sebelum ini kumpulan terdiri daripada 15 peserta itu hanya memperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan melalui hasil kerja kampung, mereka kini mampu meraih pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan, setelah mengusahakan tanaman kaedah fertigasi.

Lebih membanggakan, mereka kini mampu menubuhkan syarikat mereka sendiri, Pela Agrotek Management and Services bagi melicinkan pentadbiran dan pengurusan 15 unit tapak yang dibangunkan di kawasan seluas empat hektar di kampung berkenaan.

Setiap unit tapak terdiri daripada 2,000 polibeg yang ditanam khusus dengan tanaman rock melon berikutan harga pasarannya yang menggalakkan.

Pengerusi Projek Fertigasi Mega Kampung Pela, Wahab Uyob, 57, berkata projek yang bermula 2006 itu kini menjadi sumber pendapatan tambahan yang agak lumayan kepada peserta, berbanding kerja sebagai petani atau mengambil upah menanam kelapa sawit.

“Sejak bergiat secara serius dalam bidang ini, kesemua peserta kini sudah mampu memperoleh pendapatan lebih baik.

“Pada peringkat awal, kami tidak biasa dan sukar menerima kaedah pertanian moden, tetapi berkat bimbingan Jabatan Pertanian negeri dan lain-lain agensi, kami mulai menerima kaedah ini yang sebenarnya jauh lebih mudah dan menguntungkan,” katanya.

Pengurus Pela Agrotek, Bazli Ibrahim, 45, yang diamanahkan mengurus dan mentadbir perjalanan dan hal berkaitan pengurusan projek yang dilaksanakan kumpulan berkenaan, berkata Fertigasi Mega Kampung Pela mampu menjadi contoh kepada penduduk miskin yang ingin mengubah kehidupan mereka dengan bergiat secara serius dalam bidang pertanian.

“Dengan bimbingan dan kemahuan termasuk bersedia menerima perubahan dan kemajuan pertanian serta bersedia mengubah pemikiran, mereka sebenarnya boleh berjaya kerana kerajaan menyedia cukup banyak kemudahan untuk memajukan kehidupan mereka.

“Kesungguhan peserta di kampung ini bagi saya adalah contoh terbaik kerana berkat kerja keras dan usaha gigih, mereka mampu menubuhkan syarikat sendiri bagi memudahkan urusan berkaitan pengurusan termasuk menguruskan hal berkaitan kewangan membabitkan ejen pemasaran, iaitu TADC (Terengganu Agrotech Development Corporation),” katanya.

Bazli berkata, kumpulan itu juga berjaya mendapatkan pinjaman modal sebanyak RM120,000 daripada Agro Bank dengan mudah bagi mengembangkan pertanian yang mereka usahakan.

Katanya, peserta kini boleh berbangga kerana beberapa pasar raya besar serta syarikat penerbangan, AirAsia dan Malaysia Airport Bhd turut membeli hasil pertanian mereka.

Sementara itu, Pengurus Besar TADC, Rosli Harun, berkata pihaknya menjadi ejen pemasaran bagi memastikan hasil melalui program fertigasi itu dapat memberi manfaat kepada peserta.

Katanya, projek tanaman fertigasi mempunyai potensi yang cukup besar untuk dikembangkan di Terengganu kerana TADC membantu secara terus urusan pemasaran yang dapat mengelak lambakan pasaran akibat pemasaran tidak cekap.

“Kaedah pertanian digunakan pula berteknologi tinggi atau lebih dikenali sebagai kaedah pertanian jitu yang membolehkan petani mensasarkan jumlah perolehan pendapatan mereka, mengawal kualiti buah serta menentukan saiz buah kerana ia boleh dikawal melalui kaedah tanaman dan pembajaan bersistem.

“Pada mulanya kaedah ini sukar diketengahkan kerana kebanyakan mereka sukar menerima kaedah pertanian baru kerana sudah biasa dengan pertanian lama yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata menjelang Jun depan, seramai 138 peserta yang terbabit di projek fertigasi di Terengganu dijangka mengeluarkan hasil berjumlah 253 tan dan akan dipasarkan di pasar raya besar seluruh negara.

Read Full Post »