Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘lokasi’

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Masyarakat di negeri ini digalakkan melancong dalam negeri kerana ia bukan sahaja mampu menjana ekonomi negeri malah memberi pulangan besar kepada masyarakat.

Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Ne-geri Terengganu (MTPNT), Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, memandangkan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan hari ini, pelancongan domestik lebih diutamakan berbanding memilih melancong ke luar negeri.

Menurutnya, pelancongan domestik masih lagi aktif walaupun keadaan ekonomi negara tidak begitu baik akibat kemelesetan ekonomi dunia.

“Mereka yang memilih tempat untuk ke luar negeri atau negara tidak tahu negeri ini juga banyak tempat menarik yang perlu dilawati seperti pulau-pulau, air terjun atau kawasan perkam-pungan.

“Selain itu, Terengganu juga banyak menghasilkan produknya sendiri dan ini menjadi kebanggaan kepada negeri ini kerana mampu memiliki ‘brand’ tersendiri seperti barangan kraf tangan batik, songket atau tembaga,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ahmad Fathil berharap, masyarakat di Terengganu memainkan peranan aktif agar memperkenalkan keunikan negeri ini kepada masyarakat luar kerana beliau yakin ia mampu menggalakkan sektor pelancongan negeri ini.

“Pihak pelancongan juga mengambil inisiatif menjemput pelancong dari luar negara untuk datang ke sini merasai kenikmatan dan keindahan lokasi pelancongan dan seterusnya menggalakkan pelancong luar untuk berkunjung ke sini.

“Selain memperkenalkan tempat menarik kepada mereka, kita juga dapat bertukar-tukar pendapat dan seterusnya mewujudkan persaingan sihat antara satu sama lain,” katanya.

Read Full Post »

Oleh: A. Karim Omar
Dipetik dari: http://sulaimanian.wordpress.com/2008/09/25/di-mana-bedil-buka-puasa-di-tembak/

Bagi penduduk Kuala Terengganu, dentuman tembakan bedil amat sinonim dengan bulan Ramadhan atau sebaliknya. Malah, sesetengah mereka merasakan “tidak sah” apabila untuk beberapa tahun di awal tahun 2000an dentuman bedil tidak kedengaran.

Namun, saya baru mengetahui bahawa betapa ramainya penduduk Kuala Terengganu sendiri tidak mengetahui di mana sebenarnya lokasi bedil itu ditembak. Dari perbahasan dalam beberapa posting di blog Awang Goneng (http://kecek-kecek.blogspot.com/) [penulis buku “Growing Up in Trengganu“] benar-benar menunjukkan sememangnya ramai penduduk Kuala Terengganu yang sekadar agak-agak sahaja lokasi tembakan dentuman yang menandakan waktu berbuka puasa, waktu imsyak dan tanda mulanya Ramadhan dan Syawwal.

Semenjak kecil lagi, saya sememangnya sentiasa melihat tembakan ini. Dari kawasan perumahan kuarters kerajaan Lorong Mok Pe, memang kita dapat lihat dengan jelas cahaya lonjakan bahan letupan dari rumah kecil berwarna putih di puncak Bukit Pak Apil. Dengan bunyi kecil “duup” apabila bahan tersebut melonjak tinggi ke udara hinggalah dentuman kuat apabila bahan tersebut meletup kurang tiga saat selepas itu. Memang mengasyikkan bagi kanak-kanak kecil apabila beberapa das tembakan dibuat bagi menandakan mulanya bulan puasa atau esoknya kita akan berhari Raya.

Semasa kecil, ketika dalam perjalanan berbasikal dengan ayahanda ke Masjid Putih untuk solat Subuh, dentuman menanda waktu imsyak selalunya berbunyi ketika kami sedang berkayuh di Jalan Paya Bunga yang sunyi dan lengang. Cahaya dari bahan letupan yang sedang melonjak tinggi ke udara dapat menerangi suasana yang gelap sebelum subuh itu.

Apabila pulang dari KL untuk berhari Raya semalam, saya terus menjejak tapak tembakan bedil tersebut dan mengambil gambar untuk dikongsi bersama dan agar tidak lagi timbul kesangsian di kalangan penduduk Kuala Terengganu. Sayangnya sekitar tapak tembakan bedil itu kini sedang berubah. Lereng bukitnya sudah digondol. Malah, kalau dulu sukar untuk melihat pondok tempat tembakan tersebut kini sudah dapat dilihat dengan jelas dari bandar – hampir mana-mana lokasi sebelah timur bukit tersebut.

Saya telah sediakan peta lokasi untuk menjelaskan kedudukan sebenarnya serta panorama Bukit Pak Apil dengan memberi gambaran lokasi tapak tembakan bedil berbanding dengan Stesen RTM yang mempunyai laluan yang berbeza.

Panorama Bukit Pak Apil diambil dari Jalan Pusara bersebelahan Perkuburan Sheikh Ibrahim

Panorama Bukit Pak Apil diambil dari Jalan Pusara bersebelahan Perkuburan Sheikh Ibrahim

Lokasi sebenar tembakan bedil berbuka puasa

Lokasi sebenar tembakan bedil berbuka puasa

InshaAllah, saya akan berkongsi banyak lagi gambar yang diambil dari puncak Bukit Pak Apil ini dalam posting berikut.

Read Full Post »