KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu ditahan selepas tindakannya cuba memberi suapan sebanyak RM8 kepada anggota polis gagal, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, pengadu, seorang anggota polis berusia 23 tahun dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, bersama dua lagi rakan dikatakan melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Jalan Bandar, di sini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan berkata, pengadu dan dua lagi rakan menahan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, selepas mendapati lelaki itu gagal menunjukkan lesen memandu, pengadu kemudian menulis surat saman terhadap kesalahan dilakukan.
Katanya, ketika pengadu menulis surat saman untuk diserahkan kepadanya, tiba-tiba lelaki terbabit mengeluarkan RM8 bertujuan cuba merasuah pengadu supaya tidak menyamannya.
Beliau berkata, melihat tindakan lelaki itu, pengadu tidak mengendahkan tawaran diberikan dan melihat kedegilan lelaki terbabit untuk terus memberikan rasuah, pengadu bersama dua rakan kemudian menahan suspek untuk tindakan lanjut.
“Suspek berusia 29 tahun, seorang buruh berasal dari Kampung Chendering, di sini, kini ditahan di lokap IPD untuk siasatan lanjut kerana kesalahan cuba merasuah anggota polis.
“Berikutan kejadian itu, pengadu membuat aduan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 2 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 Akta Pencegahan Rasuah, 1997,” katanya.
Beliau menasihatkan semua pemandu kenderaan supaya menghindarkan diri daripada memberi rasuah kepada anggota polis bagi mengelak mereka ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang kerana kesalahan merasuah.