Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Lembah Bidong’

SETIU 13 Julai (Utusan Malaysia) – Keunikan alam semula jadi di kawasan pantai di daerah ini mendorong sebuah syarikat swasta membina sebuah hotel bernilai RM122 juta di Pantai Merang di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib berkata, hotel yang menyediakan 190 bilik itu akan dikendalikan oleh Desa Perantau Sdn. Bhd.

Menurut beliau, hotel berkenaan akan dibina di atas tanah seluas dua hektar yang disewa daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Katanya, pembinaan hotel itu berhampiran dengan Terengganu International Equestrian Park (TIEP) Lembah Bidong di sini, dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi.

”Pembinaan hotel ini dijangka dapat mempertingkatkan sosial ekonomi masyarakat setempat.

”Hotel ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada 200 penduduk tempatan dalam pelbagai bidang perhotelan sekali gus dapat menjana industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hotel Eksklusif di Pantai Merang di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Za’abar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Diraja Sultan Mizan yang wakili oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Mohd. Fadzli Yusof dengan Desa Perantau Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Zainab Yusof.

Za’abar berkata, kerajaan negeri akan memperbanyakkan lagi produk-produk pelancongan terutama sukan lasak seperti kuda lasak dan Piala Monsun.

”Terengganu mempunyai pelbagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong terutamanya pelancong asing ke negeri ini setiap tahun.

”Ini dapat meningkatkan pendapatan sampingan masyarakat setempat selain mempromosi negeri ini di luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menjangka peningkatan kedatangan pelancong tahun ini kepada empat juta orang berbanding 3.53 juta pada tahun lepas.

”Kedatangan pelancong asing ke negeri ini meningkat dari semasa ke semasa kerana mereka tertarik dengan kegiatan pelancongan yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya.

Read Full Post »

SETIU, 11 Julai (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, mengetuai 51 penunggang kuda memulakan cabaran Endurance Ride RTES di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong di sini Sabtu ini.

Baginda yang menunggang kuda bernama ‘B.H. Magna Thor’, mewakili kelab Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), dalam acara 80 kilometer itu.

Kejohanan kuda lasak tersebut sehari itu dijangka akan berakhir pada pukul 5.10 pagi esok.

Kejohanan itu juga turut dimeriahkan oleh penyertaan anakanda Tengku Muhammad Ismail yang akan berentap bersama 33 penunggang dalam saingan kategori 40 kilometer.

Tengku Muhammad, yang mewakili kelab RTES, menunggang kuda bernama ‘Harmere Cairo’.

Kejohanan itu dianjurkan bersama RTES dan kerajaan negeri Terengganu.

— BERNAMA

Read Full Post »

Seorang petugas melakukan kerja-kerja membungkus jus roselle keluaran Koptani Lembah Bidong Terengganu Berhad di Rhu Tapai, Setiu. – UTUSAN/ADNAN MOHAMA


SETIU 17 Mei – Tahukah anda bahawa produk minuman atau makanan berasaskan roselle antara lain didapati berkhasiat sebagai bahan antipenuaan atau menjadikan awet muda kepada penggemarnya.

Justeru tanaman secara komersial roselle kini diperluaskan di seluruh negara kerana produk berasaskannya semakin mendapat sambutan di pasaran dalam dan luar negara.

Koperasi Tani (Koptani) Lembah Bidong Terengganu Berhad di sini adalah sebagai pembekal utama produk roselle di negeri ini sekali gus dapat membantu petani Projek Pemulihan Rakyat Termiskin (PPRT) di Rhu Tapai di sini menambah pendapatan.

Sebelum ini, penanaman roselle yang merupakan punca pendapatan sampingan bagi para petani di kawasan itu terpaksa dihentikan selama empat tahun akibat beberapa masalah yang menyebabkan kilang memproses roselle ditutup.

Bagaimanapun, apabila Koptani itu ditubuhkan awal April 2007 dengan modal berbayar RM100,000, ia dilihat dapat merealisasikan hasrat untuk membantu golongan pendapatan rendah.

Ia juga membantu membangunkan semula tanaman roselle yang kini jarang diusahakan oleh para petani lain.

Melalui Koptani itu, seramai 30 petani PPRT di Rhu Sepuluh yang mengusahakan tanaman roselle itu untuk dijual sebagai bahan mentah kepada kilang milik koperasi berkenaan.

Pengerusi Koptani Lembah Bidong Terengganu Berhad, Abdul Malik Muda berkata, sebelum penubuhan koperasi itu, pihaknya membuat kajian mendapati produk roselle yang dibuat kordial, jus, jem, sos dan halwa mendapat pasaran yang memuaskan dalam kalangan pengguna.

Menurutnya, pokok roselle yang berasal dari Afrika Barat mengandungi pelbagai khasiat seperti mengurangkan tekanan darah tinggi, merendahkan suhu badan dan mengawal pertumbuhan barah.

Katanya, khasiat lain ialah antipenuaan atau awet muda, pencegahan penyakit kadiovaskular, deman panas dan resdung.

”Kami juga sentiasa bekerjasama serta mendapat bimbingan daripada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan beberapa agensi pertanian seperti Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

”Sekarang dengan berkat kerjasama serta sokongan ahli-ahli Koptani ini, kita mampu mengeluarkan lebih 30,000 unit pelbagai barangan dalam masa sebulan daripada hasil roselle itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Abdul Malik memberitahu, daripada 30,000 unit barangan tersebut termasuk 15,000 unit/cawan jus roselle dibekalkan kepada tiga buah koperasi di sekolah menengah di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya menjadi pembekal tetap kepada tiga buah sekolah menengah setiap bulan dan minuman jus roselle dijual dengan harga RM1.

Sementara itu, selebihnya barangan produk tanaman itu dijual di pasaran tempatan khususnya di negeri ini dan ada kalangan mereka datang sendiri membeli di kilang itu.

”Setakat ini, sambutan terhadap produk ini amat menggalakkan di kalangan pengguna selain kami mendapat tempahan jus roselle dari beberapa buah sekolah lain di negeri ini.

”Tetapi Koptani terpaksa menolak tawaran itu kerana kami tidak mampu membekalkan minuman itu kepada mereka disebabkan kilang kami masih lagi menggunakan mesin yang hanya mampu mengeluarkan 5,000 unit sehari,” ujarnya.

Abdul Malik berkata, dengan kemudahan yang sedia ada serta peralatan mesin yang tidak mencukupi menyebabkan juga koperasi itu hanya dapat memasarkan barangan mereka di pasaran tempatan sahaja.

Beliau memberitahu, untuk pasaran ke negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Selangor, pihaknya akan memastikan sekurang-kurangnya kilang itu dapat memproses barangan tersebut 5,000 unit sehari.

”Tetapi disebabkan kekurangan modal, mesin dan peralatan menyebabkan usaha koperasi ini untuk memasarkan barangan roselle secara meluas sama ada dalam negeri dan luar negara beliau tercapai,” katanya.

Dengan masalah itu, ujarnya, Koptani yang mempunyai keahlian 100 orang itu sentiasa mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat supaya koperasi yang menjadi pemangkin kepada para petani di kawasan itu berdaya maju.

Sekiranya kerajaan menyumbang bantuan yang diperlukan itu menjadikan ia setanding dengan produk minuman serta makanan lain di negara ini selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak ahli koperasi di situ.

”Hasil tanaman roselle mempunyai pelbagai manfaat yang tersendiri dan ada juga barangan keluaran itu seperti Kordial Organik tanpa bahan pengawet yang pasti mendapat sambutan yang memuaskan para pengguna,” kata Abdul Malik.

Read Full Post »