Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘laluan sehala’

KUALA TERENGGANU (Berita harian): Kerajaan Negeri memperuntukkan RM43 juta kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk melaksanakan pembinaan sistem jalan sehala dan mengubah suai keadaan jalan di sekitar bandar raya ini untuk kemudahan pengguna.peta trafik KT - AA 12 Jalan Bandar KT

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim, berkata peruntukan itu termasuklah untuk menggantikan sistem lampu isyarat sedia ada kepada sistem berpusat di mana lampu isyarat akan dikawal dari bilik kawalan.

Selain itu, katanya, peruntukan itu turut membabitkan penyediaan tempat lintasan dan laluan khas untuk pejalan kaki untuk kemudahan mereka menyeberang jalan raya.

“Semua projek dilaksanakan itu adalah untuk kemudahan orang ramai khususnya di beberapa jalan utama di pusat bandar raya ini,” katanya.

Beliau berkata, sistem laluan sehala yang diperkenalkan itu masih di fasa pertama menyebabkan pemilik kenderaan masih keliru dan ada yang bertindak meletakkan kenderaan bahu jalan terutama di Jalan Sultan Ismail yang dikenal pasti sebagai punca menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa jalan utama di bandar raya ini sejak (MBKT) menguatkuasakan sistem laluan sehala mulai bulan lalu.

Katanya, MBKT akur dengan beberapa masalah yang berlaku terutama membabitkan kesesakan trafik, tetapi masalah berkenaan mampu diselesaikan jika pengguna dan pemilik kereta tidak melanggar peraturan dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan, selain menggunakan laluan alternatif ke pusat bandar.

“Apabila projek itu siap sepenuhnya kelak, MBKT yakin semua masalah kesesakan akan selesai dan sistem jalan raya di bandar raya itu lebih teratur dan terkawal,” katanya.

Mat Razali berkata, apa juga projek yang dirancang adalah untuk kebaikan orang ramai, justeru semua pihak perlu bersabar dan cuba menyesuaikan diri dan bersikap positif kepada perubahan terutama sebagai warga Kuala Terengganu yang berstatus bandar raya.

*****************************

Artkel berkaitan sebelum ini:

Advertisement

Read Full Post »

Pengguna kecewa sistem baru memburukkan keadaan

Peta laluan sehala [klik di sini]

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Langkah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melaksanakan skim laluan sehala di beberapa jalan utama di pusat bandar raya ini sejak April lalu untuk mengurangkan kesesakan tidak menjadi kenyataan.

Malah, tinjauan Berita Harian di di Jalan Batas Baru, Jalan Sultan Sulaiman dan Jalan Air Jernih mendapati, kesesakan trafik bertambah buruk berbanding sebelumnya terutama pada waktu puncak iaitu antara jam 8.30 hingga 10.00 pagi dan jam 3 hingga 6 petang.

Orang ramai dan pemandu kenderaan di sekitar bandar raya ini menunjukkan reaksi sama dan masing-masing bersetuju bahawa langkah berkenaan tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan trafik kerana terdapat beberapa kelemahan ketara dalam pelaksanaannya.

Rohaizi Yusof, 31, pekerja swasta dari Kampung Seberang Takir, berkata sejak jalan berkenaan diubah menjadi laluan sehala, kesesakan lalu lintas semakin bertambah berbanding sebelumnya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya.

Beliau yang perlu memandu melalui jalan berkenaan setiap hari untuk ke tempat kerja berkata, pada awalnya dia menyokong pendekatan itu kerana berharap masalah kesesakan dapat diatasi, tetapi akhirnya kecewa kerana masalah trafik menjadi bertambah buruk kerana pelaksanaannya tidak dibuat bersandarkan perancangan rapi.

“Jika kita mengamalkan sistem jalan sehala, kenapa perlu ada banyak lagi lampu isyarat di sana-sini. Ini yang menyebabkan kesesakan trafik yang semakin buruk, tambahan pula penguat kuasa tidak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang meletak kereta di tepi jalan,” katanya.

Pegawai bank, Mohamad Razali Ali, 39, berkata ketika rancangan jalan sehala diumumkan, dia menyokong cadangan itu kerana model jalan sehala yang diamalkan di beberapa bandar lain berjaya mengatasi kesesakan trafik dan berharap perkara sama berlaku di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, sangkaannya meleset kerana berdasarkan ada yang terpaksa dilaluinya setiap hari, keadaan trafik adalah jauh lebih teruk berbanding sistem jalan dua hala diamalkan sebelum ini.

“Saya terpaksa keluar rumah lebih awal dari dulu kerana perlu mengharungi kesesakan bermula dari Jambatan Sultan Mahmud hingga ke Jalan Air Jernih,” katanya yang juga mengaitkan kesesakan buruk itu dengan perancangan tidak sempurna.

Pekerja swasta, Noriza Aripin, 28, berkata sistem jalan sehala itu menyusahkan pejalan kaki kerana kemudahan seperti jejantas atau lintasan `zebra’ tidak disediakan.

Katanya, MBKT sepatutnya mencontohi negara maju seperti Singapura yang menitikberatkan kepentingan semua pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki dalam setiap pelaksanaan jalan sehala.

“Di Singapura, mereka membina terowong bawah tanah untuk kemudahan orang ramai melintas kerana jalan sehalanya luas dan kereta sentiasa bersesak-sesak boleh membahayakan pejalan kaki.

“Bagaimanapun, pada pendapat saya pembinaan jejantas sudah memadai dan saya harap MBKT dapat menyegerakan pembinaannya sebelum berlaku kejadian tidak diingini terutama di Jalan Sultan Ismail yang menempatkan banyak bank,” katanya.

Pendapat sama turut diutarakan peniaga gerai, Karim Ariffin, 40, dari Kampung Tok Jembal yang menggesa MBKT supaya menyediakan jejantas atau lintasan di jalan berkenaan secepat mungkin bagi mengelak kemalangan.

Dia berkata, kenderaan yang bergerak laju dan jalan sehala yang luas boleh membahayakan pejalan kaki terutamanya orang tua dan kanak-kanak.

“Saya sendiri berasa gerun untuk melintas di sini kerana semua kenderaan bergerak laju sehingga terpaksa menunggu lama untuk melintas,” katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Azhar Ahmad, 33, dari Kampung Durian Burung berkata, pelaksanaan jalan sehala tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan kerana ia berpunca daripada kekurangan tempat parkir kenderaan di pusat bandar.

“Dari awal lagi saya tidak menyokong pendekatan jalan sehala kerana berdasarkan pemerhatian, masalah sebenar kesesakan di bandar raya ini ialah kekurangan tempat meletak kenderaan.

“Tidak guna mengambil pendekatan jalan sehala atau membuka jalan sehingga empat lorong, tetapi kesesakan trafik masih berlarutan kerana pengguna jalan masih perlu berhenti di beberapa lampu isyarat dan kereta yang diletak secara haram di depan bank dan premis perniagaan,” katanya.

****************************

Artikel sebelum ini:

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 26 Feb. [Utusan] – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengubah aliran laluan trafik di beberapa kawasan di sekitar pusat bandar raya ini bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya bermula bulan depan.

Datuk Bandar, Datuk Mat Razali Kassim berkata, perubahan yang akan dilakukan termasuk mewujudkan jalan sehala di kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

”Bagi melicinkan pergerakan trafik di sekitar bandar raya ini, MBKT dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan telah membuat perancangan mengubah laluan bagi mengelak kesesakan lalulintas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, antara laluan yang terlibat dalam perubahan itu ialah Jalan Air Jernih iaitu bermula dari persimpangan Tenaga Nasional Berhad hingga ke simpang empat Jalan Sultan Ismail.

”Laluan ini diubah menjadi laluan sehala dengan arah alirannya bermula dari susur masuk Jalan Kemajuan sehingga susur keluar Jalan Sultan Ismail,” ujarnya.

Beliau menambah, laluan dari simpang empat Jalan Sultan Ismail berdekatan Bangunan PMINT hingga ke simpang empat Jalan Sultan Ismail juga akan diubah menjadi laluan sehala.

”Arah alirannya akan bermula dari susur masuk di Bangunan PMINT menuju ke persimpangan Jalan Tok Lam,” katanya.

Beliau berkata, aliran di Jalan Batas Baru juga akan diubah menjadi laluan sehala, bermula dari simpang empat berdekatan bangunan Kokitab hingga ke simpang tiga menuju ke Jalan Kemajuan.

”Ia turut melibatkan laluan dari persimpanan Jalan Batas Baru ke Jalan Air Jernih,” katanya.

Read Full Post »