Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Kuala Besut’

KUALA TERENGGANU, 7 Julai (Bernama) — Satu sindiket pengedaran mercun di daerah ini tumpas apabila polis merampas 147 kilogram mercun bernilai RM10,000 di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tengah, dekat sini Isnin semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abdul Wahid berkata dalam serbuan pada pukul 8.25 malam itu, polis menahan seorang wanita serta dua lelaki berusia antara 24 dan 43 tahun.

“Pada mulanya, kami menerima maklumat bahawa pengedar menggunakan premis itu untuk mengedar dadah.

“Bertindak atas maklumat, seramai 15 pegawai dan anggota dari cawangan Narkotik Terengganu membuat serbuan di rumah berkenaan dan menemui mercun-mercun itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata wanita berumur 43 tahun dari Kuala Besut yang ditahan itu dipercayai dalang sindiket berkenaan manakala dua lelaki yang masing-masing berumur 24 dan 35 tahun itu disyaki pembantunya.

Roslan berkata polis percaya pelbagai jenis mercun yang dirampas itu adalah untuk dijual pada bulan puasa dan hari raya ini.

Kes itu diserah kepada Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut, katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »

BESUT – Seorang wanita nyaris maut apabila bahagian dapur rumahnya ranap sama sekali setelah ditimpa sebatang pokok mangga dalam kejadian ribut yang melanda di Kampung Nangka dekat Kuala Besut, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Sahidah Seman, 42, berada di dalam rumahnya, sebelum bergegas keluar ketika ribut kencang disertai hujan renyai-renyai melanda.

Menurut adiknya, Mohd Azhar Mohd Jusoh, 28, sejurus selepas kakaknya keluar melalui pintu depan rumah, tiba-tiba sebatang pokok mangga sebesar lebih satu pemeluk orang dewasa tumbang dan menimpa bahagian dapur rumah.

“Nasib baik kakak saya cepat keluar dan tidak berada di bahagian dapur rumah ketika kejadian. Kalau tidak, tak tahu lah apa yang akan terjadi,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Menurut Mohd Azhar, ketika kejadian, hanya kakaknya berada di dalam rumah, manakala dia dan dua adik tiada di situ.

Katanya, ribut kali ini amat kuat dan belum pernah dialami penduduk di kampung ini dan akibat kejadian, dapur rumah dan perkakas dapur rosak teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nangka, Abd Rahim Abd Razak berkata, sebanyak 12 buah rumah di kampung itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian atap termasuk sebuah masjid.

“Rumah Mohd Azhar antara paling teruk mengalami kerosakan manakala rumah lain hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian atap,” katanya.

Sementara itu, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut melawat mangsa terlibat dan akan menyalurkan bantuan secepat mungkin terutama menerusi agensi yang sesuai.

Dalam kejadian sama petang semalam, atap sebuah garaj meletak kereta di Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri, dekat Kampung Tok Has tercabut dan tersangkut pada pagar sekolah setelah diterbangkan angin.

****************************

Berita berkaitan sebelum ini:

Read Full Post »