Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘komputer riba’

KEMAMAN (Sinar Harian)- Pembahagian komputer riba kepada 23,000 murid Tahun Lima di seluruh sekolah rendah di negeri ini akan diselesaikan sehingga penghujung bulan ini bagi memastikan hasrat kerajaan negeri melahirkan generasi baru celik teknologi maklumat (IT) tercapai.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, pembahagian e-Book di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pertama kali diadakan bagi kawasan Kemaman membabitkan 722 penerima dari 10 buah sekolah, di sini.

“Kita akan selesaikan secepat mungkin, dijangka akhir bulan ini semuanya selesai dan murid boleh menggunakannya kerana semuanya sudah disediakan dengan lengkap.” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Penyerahan e-Book dan Bantuan Pakaian Seragam di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok, Kijal.

Menurut Ahmad, melalui sistem ‘Virtual Class’, murid akan dibawa mendalami ilmu IT dengan pengawasan sepenuhnya oleh guru.

“Tidak timbul soal murid bermain ‘games’ menggunakan komputer riba ini, terpulang kepada kawalan guru dan ibu bapa.

“Melalui sistem ‘Virtual Class’, jutaan ringgit telah dibelanjakan dan kami akan sentiasa mengemas kini sistem itu dari masa ke semasa.

“Kerajaan negeri juga merancang membina kilang komputer milik sendiri pada tahun depan dengan peruntukan RM8 bagi merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Menurut Ahmad, ia adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri bagi memberikan yang terbaik kepada murid tanpa mengira latar belakang dan agama.

“Kerajaan negeri juga telah membelanjakan RM34 juta untuk tujuan ini, justeru, kita harus bangga kerana Terengganu satu-satunya negeri menggunakan kaedah ini selepas Venezuala dan Portugal,”katanya.

Ditanya mengenai isu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak patut melengahkan siasatan ke atas dua ‘Datuk’ yang dikatakan terbabit dengan rasuah berhubung pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2, beliau enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.

“Saya ’no komen’, begitu juga dengan isu Chin Peng, saya tidak mahu mengulas panjang, bagi saya itu sejarah pahit yang menyebabkan ramai orang terkorban ketika zamannya.

“Dia memang seorang yang tidak bertanggungjawab,”katanya.

Read Full Post »

Peralatan dihantar selepas pengisian silibus dimuat turun

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 15,000 unit komputer riba atau buku elektronik (e-book) pertama dari Shanghai, China tiba di Terengganu semalam, dan akan diagihkan kepada murid Tahun Lima di negeri ini dalam tempoh dua minggu lagi, selepas pengisian silibus pembelajaran selesai dimuat turun.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata baki 8,000 unit e-book akan sampai dalam bentuk komponen dan akan dipasang sendiri oleh tenaga mahir tempatan yang sudah dilatih di kilang e-book di Kompleks Perindustrian Gong Badak di sini, yang akan mula beroperasi pada akhir Mei ini.

Beliau berkata, dalam tempoh dua minggu sebelum e-book diedarkan, semua guru yang mengajar murid tahun lima akan diberikan taklimat serta kursus mengenai penggunaan e-book yang memuatkan semua mata pelajaran dalam bentuk digital.

Katanya, pengisian e-book juga diberi nilai tambah kerana ia turut memuatkan 30 juzuk al-Quran, termasuk silibus lengkap pembelajaran fardu ain.

“Alhamdulillah, 15,000 e-book pertama sampai di kilang kita yang berharga RM8.5 juta dan kini sudah 90 peratus siap pembinaannya. E-book ini akan diagihkan menjelang akhir Mei ini kepada murid tahun lima dan baki 8,000 lagi akan dipasang sendiri oleh tenaga kerja kita yang sudah terlatih.

“Kita juga memberi nilai tambah dalam pengisian e-book apabila murid boleh mengaji 30 juzuk al-Quran, mempelajari cara solat lima waktu dan solat jenazah yang betul secara digital. Malah, kita akan isikan juga Skor A supaya murid boleh mengulang kaji contoh soalan peperiksaan tahun sebelumnya,” katanya selepas merasmikan Program Pendidikan Terengganu Terbilang 2009 (PPTT) di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong.

Beliau berkata, dengan pengisian e-book yang diberi nilai tambah silibus fardu ain, kerajaan negeri juga bercadang mengadakan kelas agama di sesi petang persekolahan seperti diamalkan kerajaan negeri Johor, bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu agama.

E-book seberat 1.1 kilogram berharga RM1,000 seunit adalah antara pelan pendidikan jangka panjang kerajaan negeri dalam mendedahkan pelajar dengan teknologi maklumat dan komunikasi, serta meningkatkan kecemerlangan pelajar di negeri ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah menerima permintaan dan sedang berunding dengan beberapa pihak termasuk dari luar negara yang berminat untuk membeli e-book yang terbukti berdaya tahan.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui syarikat milik penuhnya, Top IT Industries Sdn Bhd diberikan hak untuk memasar dan mengedar e-book hingga ke pasaran Asia Tenggara.

Read Full Post »