Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Khazan Che Mat’

BATU RAKIT (Sinar Harian) – Hasrat seorang saudara baru yang bekerja sebagai nelayan sepenuh masa untuk memiliki bot sendiri mendapat perhatian daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Malek Sandrasikaran Abdullah, 45, dari Kampung Mengabang Panjang menerima bantuan Maidam bernilai lebih RM8000, berupa sebuah bot kecil yang dilengkapi enjin 15 kuasa kuda, semalam.

Malek berkata, walaupun sudah lama menjadi nelayan sepenuh masa, dia masih belum mampu memiliki bot sendiri kerana pendapatan yang diterima sebagai awak-awak tidaklah seberapa.

Menurutnya, sepanjang 20 tahun bergelumang dengan laut, pelbagai dugaan dan rintangan terpaksa ditempuhinya.

Namun, ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.

“Saya memang memerlukan bantuan ini untuk mengubah kehidupan keluarga dan sebagai tanda penghargaan, saya berjanji tidak akan mensia-siakan bantuan ini,” katanya.

Bantuan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Khazan Che Mat diiringi Ketua Penolong Setiausaha (Pentadbiran), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Sementara itu, Khazan ketika ditemui Sinar Harian berkata, dengan bantuan itu, nasib ayah kepada lapan anak itu pasti berubah selepas lebih 20 tahun bekerja sebagai awak-awak dengan pendapatan sekitar RM20 sehari.

Menurutnya, pemilihan Malek sebagai penerima bantuan dibuat selepas mengambil kira kedudukan pekerjaan ketua keluarga dan tanggungannya yang ramai termasuk lapan anak berusia antara dua hingga 25 tahun.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 17 Mei – Kerajaan negeri akan membelanjakan lebih RM5 juta bagi memajukan pantai Batu Rakit di sini sebagai pusat rekreasi yang berdaya maju tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, kawasan seluas tiga hektar itu menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kedai dan taman permainan kanak-kanak.

Katanya, buat masa ini kerajaan sedang dalam proses pengambilalihan tanah di kawasan pantai itu.

”Kita melihat pantai ini amat bersesuaian untuk dimajukan ke arah itu selepas ia menjadi tumpuan pengunjung setiap petang,” katanya selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Kawasan Luar Bandar 2009 di Pantai Batu Rakit di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Khazan memberitahu, program merakyatkan seni budaya diadakan bagi memupuk nilai-nilai murni dan semangat kerjasama di kalangan masyarakat dalam usaha memulihara dan mengekalkan seni budaya bangsa.

Beliau berkata, pihaknya akan menganjurkan program tersebut setiap tahun kerana menerusi kegiatan seumpama itu yang meliputi warisan seni budaya agar ia dapat ditonjolkan kepada masyarakat setempat terutama golongan muda.

”Kita percaya kebanyakan generasi muda hari ini tidak mengetahui mengenai permainan gasing, silat gayung dan wau tetapi melalui demonstrasi di program itu mereka dapat melihat secara lebih dekat lagi bagaimana permainan itu dikendalikan,” ujarnya.

Read Full Post »