
KELULUT (Sinar Harian) – Hanya tujuh peratus daripada 270 kedai makan dan restoran yang berdaftar di Daerah Marang diklasifikasikan sebagai gred A bagi tahun 2008.
Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Faizah Ghazali berkata, keadaan itu dilihat kurang memuaskan dan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan tahap kesihatan dan keselamatan pengguna terjamin.
Menurutnya, daripada jumlah itu juga, 14 buah kedai makan diklasifikasikan dengan gred C dan selebihnya adalah gred B.
“Sebanyak sembilan premis juga ditutup, di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit kerana berlaku kecemasan seperti keracunan dan sebagainya.
“Melihatkan angka ini, sudah tentu pihak kami tidak berpuas hati dan kini merancang serta melaksanakan pelbagai program dan kursus bagi memastikan 50 peratus daripada premis yang diklasifikasikan gred B ini naik kepada gred A,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Kursus Kebersihan Premis dan Keselamatan Makanan bagi Kedai dan Gerai Makan di Daerah Marang 2009, di Dewan Semarak Aruni Inn, semalam.
Kursus berkenaan dirasmikan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Elias Nik. Turut hadir adalah Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan.
Kursus sehari itu membabitkan 108 peserta terdiri daripada pemilik kedai dan gerai makan gred B di Daerah Marang.
Kursus anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Marang dan Majlis Daerah Marang itu bertujuan memberi pendedahan, pengetahuan serta kesedaran mengenai kebersihan premis, penjagaan keselamatan makanan serta amalan yang perlu dipraktikkan pengusaha kedai dan gerai makan mengikut kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurut Faizah, bagi merealisasikan hasrat mencapai 50 peratus daripada premis gred B kepada gred A itu, pihaknya akan memberi penekanan dan pendedahan kepada pengendali makanan mengenai aspek kebersihan yang perlu diamalkan.
“Mereka juga akan diberi pendedahan dan maklumat mengenai undang-undang serta penguatkuasaan kesihatan yang berkaitan dengan makanan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.
“Pihak kami juga akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Marang bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi arahan serta garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.