Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Kementerian Kesihatan’

KUALA TERENGGANU 12 Julai (Utusan Malaysia)- Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSSI) di sini yang diarahkan tutup Khamis lalu setelah dua pelajarnya disahkan dijangkiti influenza A (H1N1) akan dibuka semula Rabu ini.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Ariffin Embong memberitahu, sekolah berkenaan akan dibuka semula pada hari tersebut selepas mendapati keadaan terkawal.

”Saya juga ingin menekankan bahawa arahan tutup dan membukanya semula bukan dibuat sewenang-wenang sebaliknya atas faktor kesihatan. Kita mengikut arahan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan SKSSI yang ditutup Khamis lalu selepas dua pelajarnya dijangkiti virus itu.

Dua murid sekolah terbabit dikuarantin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana dijangkiti selesema babi selepas pulang dari luar negara.

Mengulas lanjut, Ariffin menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik dan bimbang dengan kes tersebut kerana keadaan terkawal.

Katanya, Jabatan Pelajaran sentiasa mengikut arahan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan penularan jangkitan virus itu.

”Kuarantin merupakan langkah awal bagi mengelak berlakunya jangkitan dan saya rasa keadaan terkawal dan ibu bapa tidak seharusnya bimbang dengan apa yang berlaku,” jelasnya

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 18 Jun – Terengganu mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penyebaran virus selesema influenza A (H1N1) dengan mengurangkan waktu melawat di semua hospital kerajaan di negeri ini bermula esok.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Nordiyanah Hassan berkata, tindakan mengurangkan waktu melawat selama sejam itu adalah sejajar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Justeru, katanya, waktu melawat pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang akan dipendekkan kepada 1 petang hingga 2 petang.

Beliau berkata, waktu melawat antara pukul 4 hingga 7 malam juga akan dipendekkan kepada pukul 5 hingga 7 malam.

”Langkah ini diambil bagi mengurangkan penyebaran virus selesema H1N1 terutama di hospital yang merupakan tempat para pesakit mendapatkan rawatan. Langkah ini mula berkuatkuasa esok sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan semalam mengumumkan kes penularan tempatan pertama virus itu di negara ini.

Read Full Post »

KELULUT (Sinar Harian) – Hanya tujuh peratus daripada 270 kedai makan dan restoran yang berdaftar di Daerah Marang diklasifikasikan sebagai gred A bagi tahun 2008.

Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Faizah Ghazali berkata, keadaan itu dilihat kurang memuaskan dan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan tahap kesihatan dan keselamatan pengguna terjamin.

Menurutnya, daripada jumlah itu juga, 14 buah kedai makan diklasifikasikan dengan gred C dan selebihnya adalah gred B.

“Sebanyak sembilan premis juga ditutup, di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit kerana berlaku kecemasan seperti keracunan dan sebagainya.

“Melihatkan angka ini, sudah tentu pihak kami tidak berpuas hati dan kini merancang serta melaksanakan pelbagai program dan kursus bagi memastikan 50 peratus daripada premis yang diklasifikasikan gred B ini naik kepada gred A,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Kursus Kebersihan Premis dan Keselamatan Makanan bagi Kedai dan Gerai Makan di Daerah Marang 2009, di Dewan Semarak Aruni Inn, semalam.

Kursus berkenaan dirasmikan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Elias Nik. Turut hadir adalah Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan.

Kursus sehari itu membabitkan 108 peserta terdiri daripada pemilik kedai dan gerai makan gred B di Daerah Marang.

Kursus anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Marang dan Majlis Daerah Marang itu bertujuan memberi pendedahan, pengetahuan serta kesedaran mengenai kebersihan premis, penjagaan keselamatan makanan serta amalan yang perlu dipraktikkan pengusaha kedai dan gerai makan mengikut kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Faizah, bagi merealisasikan hasrat mencapai 50 peratus daripada premis gred B kepada gred A itu, pihaknya akan memberi penekanan dan pendedahan kepada pengendali makanan mengenai aspek kebersihan yang perlu diamalkan.

“Mereka juga akan diberi pendedahan dan maklumat mengenai undang-undang serta penguatkuasaan kesihatan yang berkaitan dengan makanan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

“Pihak kami juga akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Marang bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi arahan serta garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Read Full Post »