Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Kelantan’

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) — Kolej Islam Sains dan Teknologi(Kist) cawangan Terengganu akan memilih 16 pelatih bagi mengikuti pengajian sulung di Akademi Penerbangan KIST di sini yang akan dibuka September ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat Kist, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata akademi itu yang pertama seumpamanya di Terengganu dan kelapan dalam negara akan beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Beliau berkata pihaknya yang melabur RM20 juta bagi membuka akademi itu, menyediakan tiga pesawat latihan buatan Itali kepada pelatih-pelatih yang mengikuti pengajian itu.

“Kami akan ambil pelatih dua kali setahun. Pada peringkat permulaan, 16 pelatih yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kepujian dalam Bahasa Inggeris, Matematik serta Sains akan mengikuti latihan selama 18 bulan sebelum mendapat sijil.

“Bagi melatih pelajar, kami menyediakan lapan tenaga pengajar yang mahir dalam bidang penerbangan,” katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Tengku Putera berkata penubuhan akademi itu antara lain bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam industri penerbangan yang kini semakin diperlukan oleh syarikat-syarikat penerbangan sama ada di dalam atau luar negara.

KIST mula bertapak di Bachok, Kelantan sejak 2005, sebelum membuka cawangan Terengganu di Kuala Berang pada awal tahun ini dan menyediakan kursus-kursus berkaitan Sains Kesihatan.

Sebanyak 12 kursus yang ditawarkan di KIST iaitu Kejururawatan, Pembantu Perubatan, X-Ray, Sains Senaman dan Sukan, Teknologi Makmal Perubatan, Kesihatan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Terapi Cara Kerja, Pembantu Farmasi, Fisioterapi, Pengajian Syariah dan Psykologi serta terbaru bidang Penerbangan.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

Antara adegan menarik yang terdapat pada persembahan Mak Yong. – utusan/Adnan Mohamad


KUALA TERENGGANU 21 Jun (Utusan Malaysia)- Benarkah Mak Yong sejenis dramatari Melayu popular berasal dari sebuah kampung dikenali Kampung Padang Luas Nasi Kunyit, Setiu.

Persoalan ini dikemukakan kerana ramai pengkaji sebelum ini sepakat mendakwa Mak Yong berasal dari Pattani atau beberapa buah negeri lain termasuk Kelantan.

Dalam hubungan ini Pegawai Penyelaras Teater Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negara (JKKN) Terengganu, Azahar Othman berkata, hasil kajiannya mendapati Mak Yong sememangnya berasal dari Setiu.

Katanya, teori ini dibuat berdasarkan bukti yang terdapat hingga kini seperti bendang padi raja, batas besar, sebuah wakaf, sebuah telaga dan padang luas saujana mata memandang.

”Di sinilah tempat persinggahan Raja Kelantan di mana Mak Yong mula dimainkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mengulas lanjut, Azahar berkata, mengikut kajiannya Mak Yong yang dimainkan di Terengganu sebenarnya bermula di Sumatera yang diasaskan oleh orang Batak.

Lantaran itu, katanya dalam Hikayat Mak Yong selalu disebut ‘Maharaja Batak’ dan sebagainya yang ada kaitan dengan nama-nama kaum di Sumatera.

Kemudiannya apabila berlaku peperangan di Sumatera, salah seorang Raja yang tewas telah melarikan diri dan dalam rombongan tersebut terdapat pemain Mak Yong dan pasukannya.

”Rombongan tersebut telah sampai di Terengganu iaitu di Padang Raja yang dikenali Padang Luas, Nasi Kunyit, Setiu.

”Dari sinilah permainan Mak Yong dipelajari oleh orang Kelantan dan terus berkembang di negeri itu,” katanya.

Azahar menjelaskan selain itu kajiannya mendapati Mak Yong berasal dari Setiu kerana sebelum itu ia merupakan sebahagian daripada wilayah negeri Kelantan.

Katanya, kawasan tersebut telah dimenangi oleh Raja Temenggung daripada Raja Kelantan dalam satu pertaruhan sabung ayam.

Raja Kelantan yang tewas itu telah pergi dengan penuh kehampaan dan membawa lagu-lagu Mak Yong bersamanya.

Selain itu kata Azahar lagi di kampung tersebut dipercayai terdapat seorang perempuan dikenali sebagai Batak Putih dan tinggal bersama anak perempuannya yang kecil bernama Yong.

Katanya, pada suatu hari seorang pemikat burung telah disuruh oleh rajanya memikat burung untuk santapan baginda.

Pemikat tersebut dikenali sebagai Tok Jaro di mana beliau telah memikat di Padang Luas tersebut.

”Sedang beliau berjalan-jalan, tiba-tiba beliau terdengar nyanyian seorang perempuan sedang mendodoikan anak dengan suara yang merdu.

”Dia mendekati suara itu dan sampai ke rumah perempuan tersebut.

”Batak Putih memberitahu kepada si pemikat bahawa dia berada di situ kerana menjaga padinya dari dimakan burung.

”Pemikat balik ke Istana dan memberitahu raja apa yang dialaminya dan apabila raja mendengar cerita tersebut, baginda telah berangkat ke tempat tersebut,” katanya.

Azahar menjelaskan raja kemudiannya menitahkan Mak Yong mendodoikan anaknya untuk memperdengarkan suaranya yang merdu.

Katanya, rakyat baginda semuanya terpegun mendengar suara Batak Putih (Mak Yong).

Semenjak itu apabila baginda hendak beradu, Mak Yong dipanggil untuk menyanyi.

Azahar menambah cerita lain yang boleh mengaitkan Setiu dengan Mak Yong adalah terdapat cerita kononnya di Ulu Setiu didiami oleh satu keluarga yang terdiri daripada tiga beranak.

Katanya, si anak digelar Yong, ibunya Mak Yong dan bapanya digelar Pak Yong.

Pak Yong dan Mak Yong selalu bermain-main menghiburkan anaknya sambil menari dan menyanyi.

Perbuatan mereka menjadi tontonan dan kegemaran penduduk kampung dan dengan itu lahirlah permainan Mak Yong.

Mengenai kedudukan teater tari itu, Azahar berkata, dalam Mak Yong, alat-alat muzik dimainkan mengikut pergerakan watak seiring dengan perkembangan cerita.

Katanya, kesepaduan bunyi amat penting di dalam sesuatu persembahan kerana tanpa kepaduan yang baik pemain-pemain Mak Yong berkemungkinan tidak ada ‘angin’ untuk meneruskan cerita.

Muzik ialah unsur yang sangat penting dalam sesuatu persembahan Mak Yong.

Seperti dalam persembahan wayang kulit, muzik terutama suara rebab digunakan untuk memaklumkan bahawa pementasan Mak Yong akan bermula.

Istiadat permulaan ini boleh disamakan dengan istiadat bertabuh Wayang Kulit.

Muzik juga digunakan untuk membentuk suasana yang menggambarkan emosi dan perasaan tiap-tiap adegan.

Selalunya suasana tersebut digambarkan dengan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh watak-watak utama dan korus (Jong Dondang).

Gerak tari yang paling indah dalam Mak Yong dapat diperhatikan dalam tarian ‘Mengadap Rebab’ di mana ia menggabungkan ibu tari, kirat, tapak dan goyangan badan yang lembut.

Dalam semua persembahan Mak Yong beberapa kebiasaan asas haruslah diperhatikan.

Panggung atau bangsal biasanya dibina dengan menggunakan buluh dan atap, dan terbuka di semua bahagian serta dibina tidak lebih tinggi daripada paras tanah supaya para pelakonnya boleh berada di lantai yang ditutupi tikar.

Orkestra Mak Yong disusun begitu rupa supaya pemain rebab duduk di sebelah timur berhampiran dengan tiang tengah (tiang seri).

Kedudukan ini membolehkan para pelakon wanita mengadap ke arah timur, dalam tarian pembukaan, ‘Mengadap Rebab’.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 18 Jun (Bernama) — Hasrat 219 jemaah di Terengganu dan Kelantan untuk menunaikan umrah, musnah apabila dikatakan ditipu sebuah syarikat yang kononnya menawarkan perkhidmatan kepada mereka yang mahu mengerjakan ibadah itu.

Ketua Jabatan Jenayah Komersial Negeri Supt Azmi Adam berkata kesemua mangsa telah membayar wang tunai RM534,000 kepada syarikat terbabit yang beralamat di Sentul, Kuala Lumpur.

“Berikutan itu, kami menahan seorang lelaki di Sentul pada pukul 9 malam dua hari lepas untuk membantu siasatan berhubung kes penipuan itu,” katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata seorang pesara Jabatan Pelajaran Terengganu, pengadu yang juga mangsa dalam kes itu, ditawarkan syarikat terbabit untuk mencari mereka yang hendak menunaikan umrah dengan harga pakej RM3,500 seorang.

Azmi berkata pengadu berjaya mengumpulkan 219 orang, majoritinya dari Besut, Terengganu dan Kelantan serta mengutip wang sebanyak RM534,000 sebelum memasukkan wang itu ke dalam akaun syarikat berkenaan.

Beliau berkata syarikat itu menjanjikan penerbangan mengerjakan ibadah itu pada awal bulan ini tetapi apabila tiba masanya, penerbangan dibatalkan dan syarikat berkenaan menawarkan penerbangan kedua kepada kesemua mangsa pada bulan Ramadan ini dengan harga pakej yang serupa.

Merasakan dirinya tertipu, beliau berkata pengadu berumur 60 tahun dan berasal dari Besut itu, membuat laporan polis di Besut pada 10 Jun lepas.

Azmi berkata berikutan laporan itu, polis menahan pemilik syarikat terbabit berusia 37 tahun dan suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian lain, beliau berkata polis menahan tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 20 dan 29 tahun di sini dan Marang semalam, kerana dipercayai menipu Yayasan Terengganu.

Penipuan itu membabitkan dokumen palsu permohonan bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »