Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘kebun pisang’

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Kehidupan mewah seorang lelaki bergelar usahawan dengan berselindung di sebalik projek tanaman pisang secara komersial terbongkar apabila polis menyerbu sebuah pondok di ladang miliknya yang dijadikan makmal memproses dadah, kelmarin.

Tauke pisang yang dipercayai memiliki kepakaran menghasilkan dadah itu kini berdepan hukuman gantung mandatori apabila polis menemui 450 pil kuda dan 125 gram ketamin bernilai lebih RM20,000 yang dijadikan bahan untuk memproses dadah jenis baru dengan mencampurkannya bersama tepung ubi, gula halus, tepung pulut dan pewarna.

Semua bahan itu dikeringkan menggunakan haba lampu yang dipasang dalam sebuah almari kayu ditemui ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri diketuai Inspektor Shahrul Efendi menjalankan pemeriksaan sebaik menyerbu ladang berkenaan, kira-kira jam 11.30 malam.

Selain dadah, polis turut merampas senapang angin buatan sendiri menggunakan peluru bola besi dipercayai diseludup dari Thailand.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata serbuan di ladang seluas 12.8 hektar di Kampung Gemuroh dilakukan selepas polis menerima maklumat awam mengenai kegiatan lelaki berusia 36 tahun itu.

Menurutnya, selain maklumat awam, soal siasat terhadap beberapa pengedar dadah yang ditahan sebelum ini banyak membantu polis mengesan hingga tertangkapnya lelaki terbabit.

Beliau berkata, suspek dari Kampung Bukit Jong, di sini, dikatakan licik apabila menjadikan perniagaan pisang secara komersial sebagai topeng menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan tujuh lelaki dipercayai pekerja ladang berkenaan berusia 25 hingga 39 tahun dalam keadaan khayal dan pemeriksaan air kencing terhadap suspek dan tujuh lelaki terbabit mendapati seorang daripada mereka bebas dadah manakala tujuh lagi positif dadah jenis ketamin,” katanya, semalam.

Difahamkan, selain menjadi pekerja ladang, semua lelaki tempatan itu dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Beliau berkata, pihaknya tidak pasti sama ada dadah jenis baru itu dihasilkan dalam bentuk serbuk atau pil kerana pemeriksaan dalam almari dan pondok berkenaan tidak menemui sebarang bekas atau acuan.

Menurutnya, suspek dipercayai mendapatkan bekalan pil kuda dan ketamin dari Thailand dan mengambil kesempatan memasuki negara itu ketika pulang menemui isteri dan anaknya yang tinggal di Tanah Merah, Kelantan.

Read Full Post »