Petanda tidak sedap hati
CHUKAI: “Saya memang rasa tak sedap hati ketika pulang dari masjid sehingga beberapa jiran datang untuk memaklumkan rumah saya terbakar,” kata Sidek Embong, 84, mangsa kebakaran membabitkan tiga rumah papan di Kampung Banggol, di sini, kelmarin.
Menurutnya, dia kemudian bergegas pulang untuk menyelamatkan isteri dan tiga cucunya yang dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran itu yang menyebabkan rumah didiaminya sejak hampir 50 tahun lalu musnah.
“Saya bersyukur isteri dan cucu saya diselamatkan seorang waris yang ada di tempat kejadian ketika itu. Isteri saya cedera ringan di tangan akibat melecur ketika cuba diselamatkan,” katanya ketika ditemui.
Adik Sidek, Fatimah Embong, 65, berkata selepas mengesan kebakaran bermula dari bilik abangnya, dia menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai.
“Bomba yang tiba lima minit kemudian berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah jiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Kamerul Bieza, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.40 petang dan seramai 13 anggota dikerah untuk mengawal kebakaran.
“Punca kejadian masih disiasat dan jumlah kerugian ditaksirkan kira-kira RM260,000 membabitkan kemusnahan tiga rumah serta kenderaan mangsa,” katanya.