Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘kawasan larangan’

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Sebanyak 540 kompaun dike-luarkan Jabatan Kesihatan Terengganu kepada orang ramai atas kesalahan merokok di tempat awam atau kawasan larangan merokok sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Dr Nordiyanah Hasan berkata, sehingga Mac tahun ini, pihaknya telah mengeluarkan 177 kompaun atau notis kesalahan kepada orang ramai kerana melakukan kesalahan yang sama.

Menurut beliau, Dungun menjadi daerah paling tinggi pengeluaran kompaun iaitu sebanyak 48 diikuti Kuala Terengganu (47), Kemaman (29), Hulu Terengganu (18), Marang (16), Setiu (11) dan terakhir kawasan Besut (8).

“Sehingga Mac tahun ini, sebanyak RM7,765 bayaran kompaun berjaya dikutip dan bagi tahun sebelum pula nilainya sebanyak RM27,422 (2008), RM38,977 (2007), RM35,895 (2006) dan RM34,360 (2005),” katanya.

Beliau berkata, 20 kawasan telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok iaitu di pusat hiburan atau teater, hospital atau klinik, lapangan terbang, premis kerajaan, taman asuhan kanak-kanak dan kompleks membeli belah.

Katanya, penguatkuasaan di tempat larangan merokok itu akan dijalankan oleh semua pegawai yang berkuasa mengeluarkan kompaun iaitu Pegawai Kesihatan Daerah dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Inspektor Kesihatan).

“Pegawai lain yang turut diberi kuasa mengeluarkan kompaun kepada individu merokok di tempat awam adalah pengarah hospital, Pembantu Perubatan dan Pembantu Kesihatan Awam tertentu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Nordiyanah memaklumkan kompaun maksimum dikenakan kepada pesalah adalah RM1,000 dan sekiranya sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita akan tawarkan nilaian kompaun sebanyak RM250 kepada semua pesalah kecuali bagi mereka di bawah umur 18 tahun akan ditawarkan RM50.

“Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai supaya tidak merokok di tempat larangan, jangan suruh anak di bawah umur 18 tahun membeli rokok dan jadikan rumah masing-masing sebagai kawasan larangan merokok untuk kesejahteraan keluarga,” katanya.

Read Full Post »