Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘kafe siber’

KEMAMAN 1 Jun – Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) akan membekukan semua permohonan lesen kafe siber di daerah ini kerana pengusaha sedia ada tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Ini kerana, terdapat beberapa kafe siber yang beroperasi dikunjungi remaja bawah umur untuk permainan video dan ada di antaranya melayari laman web lucah.

Yang Dipertua MPK, Abdul Rahman Yahya berkata, tindakan kafe siber berkenaan yang membenarkan remaja di bawah umur bermain permainan video dan melayari laman web lucah boleh merosakkan akhlak mereka.

“Ada di antara remaja berkenaan menabung wang belanja sekolah hanya semata-mata dihabiskan untuk permainan video,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, anggota penguat kuasa berulang kali mengambil tindakan saman terhadap pemilik kafe siber berkenaan, namun perkara itu masih berterusan.

Beliau berkata, matlamat MPK membenarkan kafe siber beroperasi adalah bagi membolehkan masyarakat melayari internet untuk mengejar kemajuan.

“Setakat ini terdapat 18 buah kafe siber beroperasi dan penguatkuasa akan membuat pemantauan secara terperinci supaya premis ini mengikut peraturan,” katanya.

Beliau memberi amaran kepada semua pengusaha kafe siber supaya mematuhi peraturan bagi mengelakkan tindakan membatalkan lesen perniagaan mereka dilakukan sekiranya mengulangi kesalahan melebihi tiga kali.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 25 Mei (Utusan Malaysia) – Ibu bapa diminta memantau aktiviti anak di kafe siber ekoran penangkapan seorang pemilik kafe dipercayai membuat salinan dan menjual filem lucah kepada pengunjungnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan di kafe siber di Bukit Payong, Marang pada 6 Mei lalu.

Ekoran itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pekerja kafe siber tersebut turut ditahan.

Menurut beliau, serbuan dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat daripada orang awam.

“Pemilik kafe itu ditahan membuat salinan filem lucah ke cakera padat di kafe siber berkenaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis merampas tujuh cakera keras mudah alih, beberapa peralatan komputer dan satu cakera padat dalam serbuan tersebut.

“Berdasarkan siasatan, pemilik kafe siber berkenaan menjual filem lucah kepada para pengunjung kafe tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja.

“Filem-filem lucah yang disalin ke cakera padat itu dijual dengan harga RM5 setiap satu,” katanya.

Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 5 (1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

“Polis juga kini menjalankan siasatan ke atas kafe siber lain bagi membendung kegiatan jenayah tersebut,” katanya.

Justeru, katanya, ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak mereka ke kafe siber bagi mengelak terjebak dalam kegiatan membeli filem lucah.

Read Full Post »