Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘jururunding’

KUALA TERENGGANU 2 Jun (Utusan Malaysia)- Kerajaan negeri akan menyiasat punca kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM25 juta.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan melantik jururunding bebas untuk menilai dan mencari punca bumbung sepanjang kira-kira 400 meter di bahagian timur stadium itu boleh runtuh.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas Stadium Tertutup di kompleks sukan berkenaan turut akan dilakukan bagi memastikan kekukuhannya.

”Saya masih belum menerima maklumat bagaimana kejadian runtuhan ini boleh berlaku kerana setakat ini belum ada siasatan yang dijalankan.

”Saya berasa dukacita dengan kejadian ini, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya ketika melawat stadium berkenaan di sini hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya juga masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kontraktor yang membina dan mereka bentuk bumbung yang melibatkan kos kira-kira RM38 juta itu.

”Saya dimaklumkan kontraktor yang dilantik melalui tender itu adalah kontraktor dari Korea,” ujarnya.

Beliau memberitahu, stadium berkenaan akan ditutup sehingga kekukuhan strukturnya diperiksa dan kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Katanya, kerja-kerja pembaikan dijangka dilakukan oleh pihak kontraktor berkenaan kerana stadium itu masih berada dalam tempoh jaminan selama dua tahun.

”Tempoh jaminan berkuatkuasa daripada tarikh penyerahan stadium tersebut kepada kerajaan negeri iaitu pada November tahun lepas,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan kejadian itu berlaku akibat pembinaan stadium yang disegerakan bagi membolehkan ia digunakan untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 pada 31 Mei hingga 9 Jun tahun lepas.

Ahmad berkata, semasa penganjuran Sukma 2008, stadium berkenaan digunakan selepas menerima Sijil Layak Menduduki (CF) sementara.

”Selepas itu kita menerima kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menggunakan stadium ini bagi penganjuran acara-acara sukan,” jelasnya.

Read Full Post »