Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Jidin Shafee’

BESUT 14 Mei (Utusan Malaysia) – Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun ini untuk meningkatkan tahap pendidikan pelajar Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk usaha meningkatkan nilai tambah sistem pendidikan di negeri ini.

Menurut beliau, antara usaha tersebut adalah mencetak soalan ujian standard untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Selain itu, katanya, ia juga melibatkan pelaksanaan kelas-kelas tambahan, tutor, tuisyen dan pelbagai lagi aktiviti untuk meningkatkan tahap pendidikan pelajar.

”Ia merupakan sebahagian daripada usaha menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu,” ujarnya selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan Anak Ikan di Jabi di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee dan Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong.

Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mencari lebih banyak pendekatan dalam membantu menghasilkan pelajar cemerlang.

”Kerajaan negeri juga akan menyediakan pelbagai kemudahan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga untuk guru bagi memastikan dapat mencapai kecemerlangan yang diharapkan,” katanya.

Beliau memberitahu, bidang pendidikan akan diberi keutamaan bagi membolehkan Terengganu menghasilkan modal insan yang cemerlang untuk masa depan.

Read Full Post »

SETIU 14 Mei – Kerajaan negeri akan memajukan kawasan di sekitar jeti pelancong yang terbiar di Pantai Merang di sini sebagai Taman Pemuliharaan Penyu dan Ekosistem Marin.

Taman tersebut dijangka menelan belanja RM500,000 dan akan dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Terengganu untuk tujuan penyelidikan serta pemuliharaan spesies itu.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kerajaan mengambil langkah itu daripada membiarkan kawasan tersebut terbiar.

Katanya, kerja-kerja pembinaan taman itu akan dilakukan dalam masa terdekat melibatkan kawasan seluas dua hektar.

”Apabila taman ini beroperasi ia bukan sahaja menjadi pusat penyelidikan serta pemuliharaan, malah mampu menarik orang ramai serta pelancong asing ke kawasan itu.

”Orang ramai berpeluang melihat penyu selain menghidupkan semula lokasi jeti pelancong itu yang terbiar sejak 10 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Jidin berkata, buat permulaan Jabatan Perikanan negeri akan melepaskan lima ekor penyu dari Rantau Abang, Dungun di taman berkenaan.

Menurutnya, Pantai Merang yang terletak tidak jauh dari taman itu sebelum ini adalah kawasan pajakan telur penyu dan ternyata ia begitu sesuai untuk tujuan penetasan serta pemuliharaan haiwan itu.

**************************

Berita berkaitan:

Air muara cetek, jeti sepi – https://alamakademik.wordpress.com/2009/05/15/air-muara-cetek-jeti-sepi/

Read Full Post »

SETIU 11 Mei (Utusan Malaysia)- Yayasan Terengganu (YT) diminta menaikkan kadar bayaran Skim Bantuan Persediaan Pelajar di negeri ini yang mengikuti program ijazah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta daripada RM1,000 kepada RM2,000 seorang.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kadar bayaran bantuan itu yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri menerusi YT perlu dinaikkan memandangkan kos serta keperluan pengajian semakin mahal.

Menurutnya, perkara itu mungkin tidak menjadi masalah bagi pelajar yang berkemampuan tetapi ia amat menyulitkan bagi pelajar daripada keluarga miskin.

“Bagi golongan miskin, jumlah ini tidak mencukupi kerana ada di kalangan ibu bapa pelajar terpaksa meminjam wang dengan orang lain untuk diberikan kepada anak mereka yang baru belajar di universiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan majlis penutup Program Anak Angkat Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Kampung Langkap di sini semalam.

Program tiga hari anjuran YT dan Permata itu diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Kampung Langkap.

Skim Bantuan Persediaan Pelajar diwujudkan oleh kerajaan negeri sejak 2001 dan ia turut meliputi pelajar pengajian diploma dengan jumlah bantuan RM750 seorang manakala sijil serta sekolah berasrama penuh (RM350-RM500).

Ia diagihkan kepada para pelajar terbabit bagi meringankan beban perbelanjaan termasuk membeli barangan keperluan pengajian bagi mereka yang berjaya memasuki sekolah berasrama penuh serta IPT di negara ini.

Mohd. Jidin berkata, adalah wajar kerajaan negeri menimbang semula kadar bantuan itu mengikut keperluan semasa supaya pelajar di negeri ini tidak mempunyai masalah dari segi kewangan.

“Bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak memudahkan pelajar yang berkelayakan mengikuti pengajian mereka di pusat pengajian yang ditawarkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah YT, Zakaria Yusof ketika ditemui di majlis itu berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya mengagihkan RM18 juta sebagai bantuan persediaan ke sekolah berasrama penuh dan IPT.

Menurutnya, pada tahun ini bayaran bantuan itu dijangka meningkat kepada RM20 juta kerana bilangan pelajar yang berjaya mengikuti pengajian ke IPT semakin meningkat.

“Semua bayaran bantuan itu dikeluarkan mengikut kategori tertentu antara RM350 hingga RM1,000 bagi setiap pelajar,” katanya.

Read Full Post »