![]() JETI pelancongan Pantai Merang gagal memberi manfaat kepada penduduk setempat. |
Jeti pelancongan tidak dapat digunakan kerana muara cetek
PERMAISURI: Sejak 1996 pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk membangun dan memajukan kawasan Pantai Merang, dekat sini sebagai pusat ekonomi dan pelancongan yang berdaya saing namun usaha itu terus melalui jalan buntu.
Lebih RM22 juta sudah dibelanjakan bagi membangunkan prasarana, termasuk jeti pelancongan dan pendaratan ikan, jalan, benteng pemecah ombak, kaunter tiket dan gerai bagi kemudahan pengunjung ke Pulau Redang, bagaimanapun, kemudahan itu tidak kekal lama, sebaliknya hanya mampu bertahan selama dua tahun berikutan lokasinya tidak sesuai.
Jeti yang dibina pula tidak dapat digunakan disebabkan masalah muara sungai cetek dan pembinaan benteng pemecah ombak didakwa tidak bersesuaian menyebabkan kawasan laluan bot pelancong ditimbusi pasir.
Keadaan itu menimbulkan masalah kepada pengusaha bot pelancong dan nelayan untuk melabuhkan bot mereka berikutan keadaan muara yang cetek dan terpaksa menggunakan pangkalan kampung bagi melabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.
Kesan daripada masalah itu, kawasan jeti berkenaan menjadi sepi dan kemudahan disediakan terus terbiar sehingga kini kerana tidak dapat memberi manfaat kepada orang ramai.
![]() |
BENTENG pemecah ombak tidak diselenggara dengan baik mencacatkan pemandangan Pantai Merang. |
Meskipun usaha mendalamkan muara di kawasan jeti itu terus dilakukan untuk memudahkan bot nelayan keluar masuk tetapi keadaan tetap sama apabila timbusan pasir terus memasuki kawasan jeti menyebabkannya terus menjadi menjadi cetek.
Tinjauan Berita Harian mendapati, banyak kemudahan yang disediakan di kawasan itu kini terbiar dan rosak manakala pengusaha bot pelancong dan nelayan terpaksa menggunakan muara sungai kira-kira 500 meter dari jeti sebagai tempat menaik dan menurunkan pelancong yang mahu ke Pulau Redang.
Seorang penduduk, Abdul Razak Ibrahim, 54, berkata kesan daripada masalah itu pengusaha bot pelancong menghadapi masalah kerana jeti yang dibina tidak dapat digunakan untuk tujuan berkenaan.
Katanya, keadaan itu memberi gambaran yang tidak baik kepada pelancong kerana mereka terpaksa menggunakan jeti yang tidak selamat dan tidak selesa sehingga memberi impak negatif terhadap pentadbiran negeri yang didakwa gagal menyediakan kemudahan pelancongan.
![]() |
KEMUDAHAN gerai yang disediakan terbiar dan rosak kerana tidak dijaga. |
“Sebagai penduduk di sini, saya merasa malu dan berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk membangunkan semula kawasan jeti yang terbiar untuk kemudahan orang ramai dan pelancong ke Pulau Redang ,” katanya.
Beliau mendakwa, pihak berkuasa sudah mengambil langkah mendalamkan muara itu dengan melakukan kerja menyedut pasir tetapi usaha itu tidak berpanjangan kerana mendapan akan berlaku semula setiap kali peralihan monsun atau musim tengkujuh.
Sehubungan itu, penduduk meminta kerajaan negeri mengkaji semula status jeti berkenaan dan mengambil tindakan untuk membangunkan semula kawasan itu kerana kos pembangunan di kawasan itu tinggi dan dianggap membazirkan duit rakyat.
“Projek Jeti Pelancongan Merang dianggap sebagai projek `gajah putih ‘ kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk setempat apatah lagi untuk pengusaha bot pelancong dan nelayan tempatan melabuh bot mereka,” katanya.
Penduduk, Ahmad Embong, 50, berkata, pengusaha bot pelancong terpaksa menggunakan jeti yang mereka bina sendiri di muara Sungai Merang manakala nelayan terpaksa melabuhkan bot mereka di tepi benteng muara sungai berkenaan.
Katanya, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan susulan untuk membangunkan kawasan jeti itu dan tidak terus membiarkan jeti itu terbiar dan berharap kawasan itu dapat dimajukan semula .
“Keadaan ini mencacatkan imej Pantai Merang yang sebelum ini memang terkenal sebagai sebuah lokasi pelancongan indah di negeri ini dan sering menjadi tumpuan pelancong,” katanya.