Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Jerangau’

KUALA TERENGGANU 28 Mei (Utusan Malaysia)- Terengganu akan mengeluarkan benih salak tempatan secara besar-besar pada hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, penyelidikan dan pembangunan buah itu oleh Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI) Jerangau, Hulu Terengganu yang dimulakan sejak 2006 telah mencapai hasil yang diharapkan.

Beliau berkata, pihaknya masih belum menetapkan nama atau tarikh pengeluaran buah salak tersebut.

Menurutnya, MARDI masih dalam proses terakhir untuk melengkapkan beberapa perkara termasuk proses pengeluaran buah berkenaan.

”Mutu dan kualiti buah salak yang dihasilkan oleh penyelidikan tersebut lebih tinggi daripada buah sedia ada di pasaran selain rasanya yang lebih enak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bulan Teknologi Pertanian di MARDI Kuala Terengganu di Manir di sini.

Rozi berkata, MARDI dijangka mengeluarkan benih berkenaan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan untuk penanaman secara kecil-kecilan atau perladangan.

Katanya, setakat ini, beberapa pihak telah menunjukkan minat untuk membangunkan projek penanaman buah salak tersebut secara perladangan.

”Ini merupakan salah satu usaha dan hasrat kerajaan negeri yang ingin mewujudkan satu produk tempatan untuk pasaran tempatan.

”Kita mempunyai teknologi untuk menghasilkan pelbagai tanaman dan buah-buahan, justeru kita tidak perlu bergantung kepada pihak luar atau asing untuk memenuhi keperluan tempatan,” ujarnya.

Read Full Post »

Projek pendekkan perjalanan dari LTSM ke Tasik Kenyir 30 minit

KUALA TERENGGANU: Penyempurnaan pakej 11 dan 12 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 menghubungkan Batu Hampar dan Gemuruh yang dijangka siap tahun depan akan memendekkan perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSM) di Kuala Terengganu ke Tasik Kenyir kepada 30 minit, berbanding lebih sejam sekarang.

Bagaimanapun, kegagalan kontraktor meneruskan kerja menurap jalan menyebabkan kerja pembinaan pakej 11 sepanjang enam kilometer sudah lewat 10 peratus daripada jadual dan perlu ditender semula, manakala pakej 12 sepanjang lapan kilometer sudah 83 peratus siap.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pakej 11 sepatutnya sudah 52 peratus siap tetapi kontraktor menarik diri daripada projek itu kerana harga bitumen yang meningkat sekali  ganda berbanding kos sebut harga dalam tender menyebabkan syarikat menanggung kerugian besar.

“Batu sudah dimasukkan cuma premix bitumen tidak dapat diturap kerana kos meningkat sekali ganda menyebabkan mereka (pemaju) tak mampu laksanakan.

“Kalau buat pun, mereka (akan) mengalami kerugian. Sebab itulah mereka tarik diri dan kita tender semula pakej itu membabitkan enam kilometer dan sekarang dalam proses menunggu keputusan daripada Lembaga Tender,” katanya ketika melawat Projek LPT Fasa 2 (Pakej 12) di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu, kelmarin.

Projek LPT Fasa 2 adalah sambungan kepada LPT Fasa 1 bermula dari Jabur hingga ke Gemuruh sepanjang 180 kilometer.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan akan memastikan proses tender menurap bitumen berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Dalam perkembangan sama, kerajaan juga sedang mengenal pasti kontraktor lain untuk menamatkan kontrak mereka kerana gagal menurap bitumen bagi mengelak mereka menanggung kerugian yang lebih besar serta disenaraihitamkan daripada membina projek lebuh raya lain.

Projek LPT Fasa 2 adalah sambungan kepada LPT Fasa 1 bermula dari Jabur hingga ke Gemuruh sepanjang 180 kilometer.

Sebanyak 70 peratus daripada skop kerja diuruskan Jabatan Kerja Raya secara tender (50 peratus terbuka dan 50 peratus Bumiputera tempatan) manakala 30 peratus dilaksanakan secara reka dan bina secara rundingan terus di bawah seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Ahmad berkata, jajaran asal lebuh raya itu adalah sepanjang 112 meliputi dua bahagian iaitu dari Jabur ke Bukit Besar dan dari Bukit Payung ke Kampung Gemuruh membabitkan lima persimpangan bertingkat iaitu Cheneh, Air Putih, Kubu, Bandar Al Muktafibillah Shah dan Gemuruh, menyusuri bersebelahan Jalan Jerangau-Jabur.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri meminta jajaran dari Cheneh ke Bukit Besi dialihkan kerana selain mendapat bantahan daripada pemilik tanah, laluan berkenaan juga sudah hampir dengan bandar di kawasan pesisir pantai seperti Kijal, Kertih dan Dungun.

Read Full Post »