Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Islam’

KAMPUNG RAJA (Sinar Harian) – Kedamaian jiwa yang ditemui dalam Islam telah membuka hati satu keluarga Cina di Kampung Renek, dekat Jabi untuk menganut agama ini.

Mohd Rafie Heng Abdullah, 56, bersama isteri, Noor Aini Wong Abdullah, 51, dan lima anak mereka, Nur Patin Nabila Mohd Rafie, 29; Nur Hani Imsyiras, 27; Mohd Aidil Suffian, 23; Mohd Shahmi, 19; dan Nor Azleen, 14, memilih meninggalkan agama asal mereka untuk menyembah Allah SWT.

Kata Mohd Rafie, mereka memeluk Islam pada 2003, setelah dia dan isteri tertarik kepada Islam sejak kanak-kanak lagi kerana sering bergaul dengan orang Melayu.

Bagaimanapun, ketenangan jiwa dalam Islam sendiri telah berjaya membuka pintu hati mereka sekeluarga untuk menukar agama, dan keputusan besar itu dibuat atas kerelaan hati masing-masing.

“Hati kami terbuka untuk menerima agama ini dan saya telah banyak mengetahui asas Islam sebelum ini, termasuk pernah belajar berpuasa walaupun ketika itu belum Islam,” kata Mohd Rafie, seorang kakitangan di Pusat Latihan Pengembangan Pembangunan (PLPP) Tok Dor.

Setelah keputusan memeluk Islam dibuat, Mohd Rafie berbincang dengan anaknya dan paling menggembirakannya, mereka juga setuju memilih Islam dengan rela hati tanpa paksaan daripada Mohd Rafie serta isterinya.

Mereka sekeluarga ditemui ketika Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Besut di Pejabat Agama Daerah, di sini.

Mohd Rafie juga adalah salah seorang Ahli Jawa-tankuasa (AJK) pertubuhan itu.

Mesyuarat itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad yang juga penaung Perkim Besut manakala pengerusinya, Anuar Hassan.

Sementara itu kata Mohd Rafie, sejak bergelar Muslim, hidupnya sekeluarga semakin tenang dan teratur biarpun mengakui banyak kelemahan diri yang perlu diatasi dan ilmu perlu dipelajari.

Tiga anaknya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta termasuk anak sulungnya sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (Phd).

Advertisements

Read Full Post »