Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘ikan sangkar’


KEGIATAN membuang sampah di Kampung Gelugor menyebabkan pelajar sekolah ‘berkawan’ dengan ribuan lalat.

Tapak dibuka 2006 jejas hutan bakau, ternakan ikan sangkar

CHUKAI (Berita Harian): Walaupun pelbagai agensi dan badan sukarela mengambil inisiatif untuk memelihara khazanah marin negara termasuk hutan bakau, semangat itu tidak dapat dizahirkan pihak berkuasa di sini apabila sebuah tapak pelupusan yang dibuka di Kampung Gelugor, Kertih bukan saja mengganggu aktiviti seharian penduduk, malah turut menjejaskan ekosistem hutan paya bakau di kawasan itu.

Lebih menyedihkan, bersebelahan tapak pelupusan sampah yang mula dibuka pada 2006 itu, terletak beberapa sangkar ikan milik pengusaha tempatan yang kini berhadapan risiko menanggung kerugian ternakan mereka mati berikutan sisa cemar air sampah mengalir ke sungai selepas hujan.

Selain memberikan kesan negatif terhadap kualiti air sungai berikutan aliran masuk sisa cemar air sampah, penduduk termasuk pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gelugor pula terpaksa menghidu bau busuk sampah serta ‘berkawan’ dengan ribuan lalat yang menjadi fenomena baru yang sangat tidak menyenangkan mereka sejak kewujudan pusat pelupusan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gelugor, Wan Engah Mohtar, 53, berkata masalah itu bukan hanya membabitkan penduduk Kampung Gelugor tetapi juga dua lagi kampung berhampiran iaitu Kampung Telaga Papan dan Kampung Tengah.

“Masalah yang membelenggu kami adalah gangguan bau busuk dan keadaan menjadi terlalu tidak menyenangkan selepas hujan kerana selain busuk kami juga diserang lalat. Kami juga bimbang pencemaran sisa air sampah akan menjejaskan sumber pencarian penduduk yang bergantung kepada hasil sungai,” katanya.

Wan Engah berkata, pihaknya sudah mengajukan aduan kepada MPKn (Majlis Perbandaran Kemaman) dan maklum balas yang diterima menyatakan pusat pelupusan sampah itu akan ditutup.

“Namun apa yang mengecewakan, sehingga hari ini aktiviti pembuangan sampah masih berterusan dan seolah-olah maklum balas yang mereka nyatakan sebelum ini hanya sekadar menyedapkan hati penduduk,” katanya.

Wan Engah berkata, kesan daripada aliran sisa cemar air sampah ke dalam sungai berhampiran, pengusaha ikan dalam sangkar di kawasan itu mendakwa banyak benih ikan yang mati berikutan penurunan kualiti air kesan pencemaran daripada pusat pelupusan sampah berkenaan.

Katanya, penduduk juga mendapati sejak kebelakangan ini hasil tangkapan mereka semakin berkurangan sedangkan kawasan itu sebelum ini kaya dengan pelbagai spesies ikan serta ketam nipah.

“Selain itu, penduduk turut menjalankan aktiviti menanam semula bakau dengan kerjasama Ecocare, sebuah pertubuhan yang diwujudkan dengan kerjasama syarikat berkaitan minyak Optimal dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia untuk memastikan kelangsungan hidupan marin di pesisir pantai Kertih.

“Tapak pelupusan sampah di kawasan itu memberi kesan yang negatif dan mengganggu usaha yang dijalankan penduduk terutama untuk menanam semula bakau kerana banyak anak bakau yang mati kerana kualiti air yang tercemar,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Telaga Papan, Jusoh Mamat, 60, pula berkata masalah tapak pelupusan sampah yang mengganggu kehidupan kira-kira 3,000 penduduk sekitar itu sering dibangkitkan dalam setiap mesyuarat JKKK.

“Kami sudah muak dengan janji manis MPKn untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia masih lagi berlarutan dan sampah masih lagi dibuang di kawasan berkenaan sedangkan dalam surat maklum balas mereka kepada JKKK, masalah itu akan diselesaikan dan kawasan pelupusan sampah akan dipindahkan ke kawasan lain yang lebih bersesuaian.

“Bagaimanapun, hingga kini, tiada sebarang perubahan dan tapak pelupusan sampah itu masih terus beroperasi dan memberikan kesan negatif terhadap persekitaran kerana menyebabkan bau busuk dan menjadi tempat pembiakan lalat,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »