Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘ikan dalam sangkar’

HULU TERENGGANU 24 Jun (Utusan Malaysia)- Projek ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir di sini dijangka mampu mengeluarkan lebih 30 tan hasil ternakan apabila fasa ketiga projek itu siap dibina.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, pembinaan fasa ketiga yang kini sedang berjalan itu akan menyaksikan penambahan kira-kira 4,000 sangkar ternakan ikan.

Menurut beliau, ketika ini, sebanyak 2,200 sangkar ikan digunakan untuk menternak ikan tilapia merah, siakap dan patin.

Katanya, fasa ketiga projek itu dijangka siap dalam tempoh terdekat ini.

”Dengan siapnya fasa ketiga projek ini, kita akan mampu mengeksport ikan ke pasaran luar negara terutama di negara Eropah.

”Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. (TADC) akan menguruskan pemasaran dan pelabelan untuk pasaran dalam bentuk ikan segar, hirisan dan nugget,” katanya.

Beliau menambah, apabila sangkar itu siap nanti, 200 sangkar akan dijadikan sebagai tempat nurseri benih ikan manakala selebihnya akan menjadi tempat penternakan.

”Penambahan sangkar itu juga akan menyaksikan pembiakan lebih sejuta benih ikan di Sungai Como,” tambahnya.

Rozi memberitahu, di bawah fasa ketiga itu juga akan menyaksikan penambahan beberapa infrastruktur asas di tapak projek di Sungai Como.

”Antara infrastruktur yang akan dibina ialah surau dan tandas di sebuah pulau kecil seluas satu hektar.

”Tempat tinggal peserta juga akan ditambah yang sejajar peningkatan jumlah peserta ekoran penambahan jumlah sangkar,” jelasnya.

Read Full Post »

peserta projek memberi makan ikan tilapia merah yang diternak di bawah projek ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.


HULU TERENGGANU 24 Jun (Utusan Malaysia)– Projek ternakan ikan dalam sangkar Sungai Como, Tasik Kenyir di sini memberi peluang kepada golongan muda untuk memahirkan diri dalam bidang ternakan ikan.

Malah, projek berimpak tinggi yang dilancarkan tiga tahun lalu itu memberikan mereka pendapatan tetap setiap bulan selain pendapatan sampingan berbentuk elaun.

Sebanyak 17 peserta kini mengusahakan projek ternakan ikan termasuk tilapia merah, patin dan siakap di 2,200 sangkar di Sungai Como.

Ketua blok sangkar satu, Che Ku Adna Ku Jalil berkata, penyertaannya sejak November lalu dalam projek itu banyak memberi pengalaman dan kemahiran untuk menternak ikan.

‘‘Saya sememangnya mempunyai minat dalam bidang ternakan ini tetapi tidak tahu bagaimana hendak mencari pengetahuan dan penyertaan dalam projek ini banyak membantu saya,” katanya.

Belia berusia 34 tahun itu yang berasal dari Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu berkata, dia dapat belajar cara untuk menternak dan menjaga ikan dalam sangkar dengan baik.

‘‘Saya juga belajar bagaimana untuk menggred ikan dan melihat kualiti ikan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, projek itu juga memberikannya dan peserta lain pendapatan tetap setiap bulan.

‘‘Gaji kami sebulan boleh mencapai RM1,050 bergantung kepada jumlah hari kami bekerja. Selain itu, kami juga akan menerima komisen daripada hasil jualan ikan,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh.

Rakannya, Mohamad Solihan Samad, 27, pula tidak kisah berpanas dan hujan dalam menjalankan kerja penternakan dalam projek itu.

Katanya, beliau tidak mempedulikan keadaan cuaca berkenaan kerana sangat berminat dengan bidang itu.

‘‘Sebelum ini, saya sudah biasa berniaga dalam cuaca berkenaan semasa belajar dahulu,” katanya yang menyertai projek itu pada Mei lalu.

Pemuda yang tinggal di Kampung Tajin di sini berkata, dia diperkenalkan kepada projek oleh seorang peserta projek itu yang tinggal sekampung dengannya.

‘‘Saya tertarik kerana dimaklumkan ia memberikan pengalaman dan kemahiran yang dapat mencapai minat saya selain pendapatan yang baik,” ujarnya.

Read Full Post »