Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘hulu besut’

BESUT 10 Julai – Peniaga kedai runcit di beberapa buah kampung di Hulu Besut dekat sini mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Mereka mendakwa diminta menjelaskan sejumlah bayaran kepada ‘pegawai’ terbabit bagi mendapatkan sijil perakuan rawatan premis mereka untuk mengelak daripada dikenakan denda sebanyak RM3,000.

Salah seorang mangsa, Norhayati Mohd. Jusoh, 42, dari Kampung Pancur berkata, dia didatangi seorang lelaki berpakaian kemas berusia lingkungan 30-an di kedai runcitnya kira-kira pukul 4.30 petang, Khamis lalu.

Pada masa sama, seorang lagi rakan lelaki itu menunggu dalam kenderaan jenis Proton Aeroback.

Katanya, lelaki itu kemudian memperkenalkan dirinya sebagai pegawai penguat kuasa KPDNKK lalu bertanyakan Perakuan Pendaftaran yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Lelaki itu kata, saya kena ambil satu sijil perakuan kesihatan dan kebersihan, jika tidak saya tidak boleh berniaga kerana kedai saya ini dikatakan banyak lalat, lipas, tikus dan semut.

“Kalau mahu sijil itu, saya kena bayar RM180 dan kepadanya dan bila saya kata tak cukup wang, dia kata saya boleh bayar dulu RM80,” jelasnya.

Suspek berkata, baki RM100 lagi boleh dijelaskan di pejabat SSM untuk urusan memperbaharui Perakuan Pendaftaran.

Selain Norhayati, seorang lagi mangsa, Sarina Ahmad, 38, dari Kampung Pasir Badak yang menjalankan perniagaan runcit nyaris menjadi mangsa penipuan yang sama.

Dia mendakwa, lelaki yang sama mengunjungi kedai runcitnya dan mengakui sebagai pegawai bahagian kesihatan.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana sempat menelefon suaminya yang segera pulang ke kedai mereka menyebabkan suspek beredar dari situ.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa KPDNKK cawangan Besut, Kamarudin Hussin ketika dihubungi menafikan pegawainya terbabit melakukan penipuan itu.

“Kita akan siasat perkara ini, setakat ini memang tidak ada pegawai kita dikesan cuba memperdaya peniaga seperti yang didakwa,” ujarnya.

Read Full Post »

BESUT, 21 Jun (Bernama) — Kerajaan negeri Terengganu akan memastikan anak-anak negeri ini yang berumur 16 tahun ke atas tidak akan ‘buta komputer’ dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata bagi memastikan sasaran itu dicapai, kerajaan negeri mengambil langkah awal dengan memulakan sistem e-book di sekolah rendah di negeri ini.

Buat permulaan komputer riba e-book dibekal secara berperingkat kepada 25,000 murid Tahun Lima, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pintar Malaysia Airlines (MAS) di Sekolah Kebangsaan Keruak, Hulu Besut, dekat sini hari ini. Turut hadir Pengerusi MAS Tan Sri Dr Munir Abdul Majid.

Ahmad berkata usaha itu dibuat kerana kerajaan negeri sedar bahawa pendidikan teknologi komputer perlu dikuasai jika ingin bersaing di peringkat global.

Beliau berkata setakat ini lebih 1,000 komputer e-book telah diagihkan kepada murid Tahun Lima di beberapa kawasan termasuk di Kijal dan Besut.

Ahmad berkata komputer itu akan diberi secara kekal kepada murid Tahun 5 dan mereka boleh menggunakannya sehingga memasuki sekolah menengah kerana perisian dalam komputer berkenaan telah disesuaikan dengan tahap pembelajaran sekolah rendah dan menengah.

Sementara itu, Munir berkata Sekolah Kebangsaan Keruak adalah sekolah ke-14 yang dijadikan anak angkat menerusi Program Pintar yang dimulakan MAS sejak tahun 2007.

Pada tahun lepas sahaja, sebanyak 397 murid dari 34 sekolah rendah yang terlibat dalam program itu memperoleh 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), katanya ketika berucap pada majlis itu.

— BERNAMA

Read Full Post »

JERTIH (Berita Harian): Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menyiasat dakwaan penduduk Kampung Batu 13, Hulu Besut yang mendakwa melihat pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin atau Ariffin Mohamad sudah tinggal semula di kampung itu sejak sebulan lalu.

Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Sheikh Harun Sheikh Ismail, berkata pemantauan akan dibuat kerana sebelum ini banyak kenyataan seumpama itu dikeluarkan, tetapi siasatan mendapati pemimpin ajaran sesat terbabit tidak berada di perkampungan berkenaan.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai Ayah Pin, dipercayai sudah kembali semula ke pangkalannya di Kampung Batu 13, selepas menghilangkan diri sejak hampir empat tahun lalu apabila penempatannya dirobohkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Ayah Pin tidak lagi menganjurkan sebarang kegiatan songsang kerana kesihatannya tidak mengizinkan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata polis tidak melancarkan gerakan mengesan Ayah Pin kerana setakat ini dia bukan lagi ancaman kepada keselamatan negara.

“Justeru, langkah membendung gejala ajaran sesat termasuk yang dianjurkan Ayah Pin perlu dilaksanakan institusi agama seperti JHEAT,” katanya.

Tinjauan di Kampung Batu 13, mendapati penempatan Ayah Pin adalah kawasan tertutup dan tidak mudah dikunjungi orang luar walaupun markas pengikut ajaran itu sudah dirobohkan pihak berkuasa empat tahun lalu.

Ini kerana kawasan penempatan pemimpin kerajaan langit itu dikelilingi pagar kawat duri dan mempunyai pintu khas yang tidak boleh dimasuki orang awam kecuali penghuni tetap di situ.

Malah, pintu utama markas itu dihalang oleh beberapa batang kayu sebagai usaha penghuni di situ menghalang orang luar daripada memasuki penempatan yang masih mempunyai kira-kira 10 rumah.

Sebuah daripada rumah berkenaan dipercayai didiami Ayah Pin bersama isterinya.

Read Full Post »

SERI KEMBANGAN (Berita Harian): Pihak berkuasa agama dan polis perlu mendapatkan bukti mengesahkan pemimpin kumpulan ajaran sesat ‘kerajaan langit’, Ayah Pin kembali ke pangkalannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu sejak sebulan lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom, berkata siasatan perlu walaupun ada pihak mendakwa sering melihat Ayah Pin keluar masuk kampung berkenaan.

“Kita tidak mahu sebarang andaian yang dibuat menyebabkan timbul sebarang masalah, rasa tidak selesa atau kekeliruan di kalangan masyarakat setempat.

“Lagi pun, isu ini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Terengganu. Malah, kerajaan negeri itu juga belum menarik balik waran tangkap terhadap Ayah Pin.

“Oleh itu, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan kehadiran Ayah Pin atau Ariffin Muhamad, 85, selepas menghilangkan diri sejak hampir empat tahun lalu apabila penempatannya dirobohkan pihak berkuasa.

Read Full Post »