Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘hobi’

KUALA TERENGGANU, 12 Jun (Bernama) — Seorang guru tidak menyangka hobi memancing di lautan di waktu lapang menyebabkan beliau terpaksa bertarung dengan maut hampir 21 jam setelah bot yang dinaiki kehabisan minyak sebelum ia dilanda ribut dan dihanyutkan arus petang Rabu.

Abd Karim Salam, 51, guru Sekolah Kebangsaan Merang Setiu yang menaiki bot kecil dihanyutkan kira-kira 60 batu nautika dari Pantai Pengkalan Maras, Batu Rakit, sehingga ke perairan Pulau Kapas sebelum diselamatkan oleh sekumpulan nelayan yang juga merupakan rakan-rakannya.

Katanya beliau pada mulanya keluar memancing bersama dua rakannya yang lain menaiki bot berasingan di persekitaran Pulau Yu pada pukul 7.30 pagi, namun kira-kira pukul 3 petang bot yang dinaikinya dilanda ribut dan kehabisan minyak.

“Saya hubungi rakan melalui telefon bimbit untuk meminta tolong. Rakan saya yang keluar bersama memancing ketika itu sudah selamat kembali ke Pengkalan Maras,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Maras di sini Jumaat.

“Namun akibat ribut dan ombak yang kuat, bot saya dihanyutkan arus dan apabila mereka menghubung mereka saya sekali lagi, saya gagal memberikan maklumat tepat mengenai kedudukan saya kerana kabus tebal,” katanya.

Abdul Karim yang kelihatan masih keletihan dan trauma akibat kejadian itu dengan pakaian yang masih basah di badan berkata, sepanjang tempoh hanyut dilaut itu, beliau hanya berbekalkan lima keping biskut dan sebotol air sahaja.

Katanya beliau ditemui oleh rakan-rakannya di kawasan perairan Pulau Kapas kira-kira pukul 11 pagi ini.

Sementara itu rakannya Abdul Karim Ali Saleh, 60, berkata beliau mula risau selepas menyedari Abdul Karim masih tidak sampai ke pantai sedangkan ketika itu ribut sudah mulai melanda.

“Saya keluar bersama Abdul Karim memancing dan tiba di pantai (Pengkalan Maras) pukul 1 petang sebelum ribut. Kira-kira pukul 4 petang beliau menghubungi telefon bimbit saya untuk memberitahu botnya kehabisan minyak. Selepas itu saya hubungi rakan-rakan yang lain dan beberapa buah bot keluar mencarinya sehingga pukul 2 pagi namun gagal kerana dia tidak dapat memberikan lokasi yang tepat,” katanya.

Katanya tiga bot meneruskan usaha mencari kira-kira pukul 7 pagi ini dan mereka berjaya menemui bot Abdul Karim berhampiran perairan Pulau Kapas dengan Abdul Karim terbaring lesu keletihan dan kelaparan di dalam bot.

— BERNAMA

Read Full Post »

Hobi buat hidangan petang mampu jana ekonomi keluarga

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Bermula sebagai hidangan ringan untuk keluarga, siapa sangka hobi membuat kuih loyang atau dikenali juga bunga durian akhirnya berkembang menjadi sumber pendapatan lumayan walaupun hanya diusahakan di rumah.

Bagi Hayati Ngah, 48, dari Kampung Banggol Tuan Muda, Manir dia sememangnya tidak menyangka hobi membuat kuih bunga durian yang diwarisi daripada ibunya bertukar menjadi sumber ekonomi keluarga yang mendatangkan hasil lumayan, malah hampir menyamai pendapatan suaminya sebagai guru besar

Beliau berkata, perusahaan itu bermula tiga tahun lalu apabila kuih dibekalkan untuk anaknya di asrama turut menjadi kegemaran rakannya yang kemudian meminta membeli kuih dalam jumlah banyak, dua kotak besar seminggu.

Bermula dari situ, Hayati menyedari bahawa kuih tradisional berkenaan masih digemari dan mempunyai potensi dikembangkan memandangkan tidak ramai pengusaha makanan berminat mengusahakan pengeluaran kuih berkenaan.

“Saya mula belajar membuat kuih ini sejak remaja daripada ibu dan ia menjadi hidangan ringan kegemaran kami sekeluarga, malah anak-anak saya turut meminati kuih ini kerana rasanya yang enak dan rangup.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka masih ramai terutama golongan muda yang menggemari kuih ini kerana biasanya kanak-kanak sekarang lebih suka makan kek atau biskut yang kebanyakannya mengandungi banyak gula dan pewarna yang tidak elok untuk kesihatan.

“Berikutan permintaan menggalakkan daripada jiran, saya terfikir untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan di rumah dengan bantuan suami dan anak-anak. Lagipun saya ingin mempopularkan semula kuih bunga durian yang semakin dipinggirkan dan tidak lagi dikenali oleh generasi sekarang,” katanya.

Menggunakan jenama Berkat Hayati Food Enterprise, Hayati mula memasarkan produknya di kedai kecil di sekitar kampung dan semakin hari permintaannya semakin meningkat sehingga menyebabkan dia terpaksa mengehadkan tempahan kerana kesuntukan masa dan tidak mempunyai pekerja membantunya.

“Ketika mula berniaga, saya ada memasarkan produk ini di kedai runcit dan gerai makan sekitar sini, tetapi selepas ia semakin dikenali, ramai pelanggan membuat tempahan terus dari rumah dalam kuantiti banyak menyebabkan saya terpaksa memberi tumpuan kepada tempahan saja.

Read Full Post »