Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Hilir Maras’

SETIU (Sinar Harian) – Sebuah keluarga tukang rumah tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Din, Hilir Maras di Batu Rakit dekat sini, hangus dalam kebakaran petang semalam.

Kejadian kira-kira jam dua petang itu disedari isteri tukang rumah berkenaan, Norbizuzi Mohamad Mustafa, 28, dan jirannya, Zulkefli Ali, 46, apabila mereka melihat kepulan asap tebal memenuhi bahagian atas rumah.

Menurut Zulkefli yang tinggal lebih kurang 50 meter dari rumah mangsa, ketika kejadian Norbizuzi bersama dua anaknya, Ahmad Amir Hakimi Sulaiman, 5, dan Siti Norhidayah Sulaiman, 6, berada di dalam rumah.

“Norbizuzi bergegas mendapatkan dua anaknya berusia lima dan enam tahun yang sedang menjerit, untuk keluar menerusi pintu depan, sebelum pengsan di hadapan rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, di sini, semalam.

Zulkefli berkata, Norbizuzi nekad menyelamatkan anaknya kerana bimbang perkara buruk berlaku jika lambat bertindak selain khuatir anaknya terperangkap dalam kepulan asap di ruang tamu.

“Kebakaran berlaku begitu pantas, saya terus berlari ke arah rumah apabila melihat mereka selamat dan hanya berjaya menyelamatkan sebuah motosikal. Syukurlah mereka selamat walaupun tiada apa lagi yang tinggal,” Katanya.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian membawa Norbizuzi dan dua anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya, Sulaiman Abdul Ghani.

Sementara itu, suami Norbizuzi, Sulaiman Abdul Ghani, 37, berkata, dia bekerja di luar kawasan ketika kejadian dan menerima panggilan daripada jiran sebelum berkejar ke tempat kejadian setengah jam kemudian.

Menurutnya yang masih belum membuat laporan ketika ditemui Sinar Harian, semua struktur rumah papan miliknya hangus walaupun pasukan bomba tiba dan berusaha mengawal kebakaran dan mendakwa mengalami kerugian dianggarkan sekitar RM50,000.

Read Full Post »