Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘hentian bas’

CHUKAI (Sinar Harian) – Kewujudan hentian bas lama di Bandar Chukai menimbulkan tanda tanya kerana ada penduduk menyokong hentian bas itu dirobohkan, dan ada juga pembaca membantah kerana ia dikatakan mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Sinar Harian pernah menyiarkan berita ini akhir tahun lalu dan reaksi yang diterima daripada orang ramai amat memberangsangkan.

Seorang pengguna bas di kawasan ini, Junaida Jusoh, 29, berkata, sudah tiba masanya Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) mengubah wajah hentian bas berkenaan bagi menarik perhatian pelancong luar.

“MPK boleh bina hentian bas dua tingkat supaya semua operasi membabitkan bas tertumpu di sini.

“Ini bagi mengelakkan kekeliruan pengguna berikutan di sini terdapat satu lagi hentian bas iaitu di Geliga,” katanya.

Menurut Junaida, pemandangan di kawasan hentian bas itu bagaikan bandar lama kerana bangunan di hadapannya juga adalah bangunan lama.

“Kawasan hentian ini wajar dibangunkan semula kerana jalan sekitarnya sering menjadi tumpuan pelancong luar yang menginap di beberapa buah hotel di sini,” katanya.

Namun, seorang warga emas, Teh Awang, 65, membantah cadangan pengubahsuaian hentian bas itu kerana kawasan berkenaan mempunyai nostalgia menarik untuk dikenang generasi akan datang.

“Saya hidup pada era pembangunan Kemaman sekitar tahun 1960.

“Ketika itu, kawasan hentian ini menjadi lokasi tumpuan walaupun peredaran masa menyaksikan banyak tempat sudah diubahsuai,” katanya.

Teh berharap Hentian Bas Chukai tidak dirobohkan untuk membina kawasan hentian baru kerana apa yang penting adalah pengubahsuaian bukan dimusnahkan.

“Bagi orang lama seperti saya, tempat itu banyak sejarahnya, dan bangunan lama di hadapan hentian bas ini sudah wujud sejak zaman Jepun memerintah Tanah Melayu pada 1942.

“Saya harap bangunan itu tidak dirobohkan kerana nilai sejarahnya amat tinggi kepada masyarakat hari ini,” katanya.

Read Full Post »