Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘gusti lengan’

Cabaran gusti lengan

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Kerjaya sebagai peniaga ayam yang memerlukannya mengangkat bakul berisi ayam seberat 80 kilogram (kg) setiap hari memberi kelebihan kepada Fakarudin Zainal untuk menjuarai kategori 70 kg ke atas dalam Cabaran Gusti Lengan PerfectFitness 2009 di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Selain itu, pengalamannya menjadi juara sebanyak empat kali dalam sukan gusti lengan peringkat Pantai Timur sebelum ini turut membantunya menewaskan 27 peserta lain.

Fakarudin, 31, dari Kampung Wakaf Beruas, di sini, berkata dia tidak menyangka akan menjuarai pertandingan itu kerana turut disertai ramai peserta berbakat dan gagah.

“Saya bersyukur, kemenangan ini sedikit sebanyak menaikkan semangat saya untuk terus menjalani latihan dan menyertai kejohanan lebih besar. Tiada resipi khas dalam kejayaan saya itu, hanya menjaga pemakanan dan mengangkat bakul berisi ayam setiap hari,” katanya.

Fakarudin berkata, dia bercita-cita mengembangkan bakatnya dan bersaing ke peringkat lebih tinggi.

“Saya yakin jika diberi peluang, saya mampu mengalahkan peserta, termasuk dari luar negara. Harapan saya semoga kemenangan dan kesungguhan dalam sukan gusti lengan ini akan menjadi dorongan kepada lebih ramai bakat baru untuk tampil menyertai kejohanan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Teo Chin Han, 25, yang mewakili Gimnasium Rakyat Perkasa Kuala Terengganu gembira usaha kerasnya berlatih selama dua jam sehari membuahkan hasil apabila mengungguli kategori 70 kg ke bawah.

“Tidak sia-sia saya mengorbankan masa rehat pada setiap petang berkunjung ke gimnasium bagi menjalani latihan dan ini pertama kali saya menyertai pertandingan, “ katanya.

Pengurus Perfect Strength Sport Academy Cawangan Terengganu, Lim Boon Tong, berkata penyertaan dan sambutan warga negeri ini di luar jangkaan berbanding negeri lain.

Read Full Post »