Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘gejala sosial’

BESUT 5 Julai – Ibu bapa dinasihatkan agar memastikan anak-anak mereka berada di rumah sebelum atau semasa waktu maghrib bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan yang negatif.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, pergerakan mereka seharusnya dikawal kerana banyak perkara buruk boleh berlaku pada waktu itu.

”Awasilah anak-anak kerana tanpa kawalan, mereka mungkin terjebak dalam kegiatan tidak diingini.

” Elakkan keluar pada waktu malam atau maghrib kerana banyak perkara buruk boleh berlaku jika ibu bapa mengabaikan perhatian terhadap anak-anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Keluarga Mithali sempena sambutan Hari Keluarga Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh di Bangunan UMNO Bahagian Besut di sini semalam.

Pada majlis anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu, sebanyak 24 pasangan suami isteri yang terpilih sebagai Keluarga Terbilang dan Keluarga Mithali menerima anugerah dan penghargaan masing-masing.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut mahu ibu bapa lebih mengutamakan usaha membentuk dan membina sebuah keluarga berkualiti bagi memastikan kehidupan yang bahagia dan sejahtera.

Katanya, meskipun mempunyai bilangan anak yang ramai, namun ia belum pasti boleh membawa kebahagiaan.

” Apa yang penting ialah memastikan anak-anak mendapat perhatian dan penjagaan sewajarnya supaya mereka boleh menjadi insan yang berguna pada masa depan,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 7 Jun (Bernama) — Lebih 12,000 remaja di negeri ini akan memperoleh wang sebanyak RM200 seorang selewat-lewatnya sebelum Hari Raya melalui Program Dana Bakti Remaja Terengganu 2009 hasil wang royalti minyak Terengganu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntuk RM23 juta untuk program yang diperkenalkan sejak tahun 2000 itu yang dahulunya dikenali sebagai wang ihsan.

“Setiap remaja yang terlibat yang berumur 21 tahun ke atas akan menerima sebanyak RM200 seorang dan wang tersebut akan diagih-agih tidak lama lagi kerana borang-borang sudahpun diedarkan kepada remaja-remaja berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Dana Bakti Remaja Terengganu 2009 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.

“Kita harap remaja-remaja yang menerima wang ini supaya tidak menggunakan wang tersebut kepada benda-benda yang tidak mendatangkan manfaat,” katanya.

Ahmad berkata selain itu, seramai 160,000 keluarga lagi di Terengganu akan menerima wang dana khas tahun ini. Bagaimanapun beliau tidak memberikan jumlah peruntukan untuk program itu.

Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad berkata kerajaan negeri sentiasa peka dan memberi perhatian terhadap remaja-remaja melalui pelbagai program pembangunan rohani dan fizikal bagi mengatasi gejala sosial samseng jalanan.

Beliau berkata ini termasuklah memberikan buku elektronik kepada setiap pelajar tahun lima mulai tahun ini sebelum program itu diteruskan kepada pelajar-pelajar tahun empat mulai tahun depan.

— BERNAMA

Read Full Post »

petikan Berita Harian di bawah tajuk: Aib juvana remaja

Remaja makin bangga, seronok buat jenayah

MEREKA mencuri, merogol, menjual diri, membunuh selain terbabit pergaduhan dan samseng. Ini bukan profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

MEREKA sanggup mencuri, merogol, menjual diri serta membunuh selain terbabit dalam pergaduhan dan samseng. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

Ini bukanlah profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional.

Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.

Silap jika ada yang beranggapan ini trend semasa bersifat sementara dan hanyalah gelojak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba perkara baru.

Buktinya, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.

Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh.

Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol. Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.

Keadaan juga tiada jauh bezanya di sekolah. Hasil kajian Petunjuk Keselamatan dan Jenayah di Sekolah anjuran Universiti Malaya yang diumumkan tahun lalu, menunjukkan empat masalah utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme atau samseng.

Kajian setahun pada 2006 – 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

“Bagi saya, perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara,” kata Dr Tie ketika ditemui, baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

“Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

“Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah.”

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

“Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah.”

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak – ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

“Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

“Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka,” katanya.

INFO: Masalah juvana

  • 5.4 juta pelajar di seluruh negara
  • Indeks pembabitan pelajar dalam jenayah 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhan
  • Usia pelajar bermasalah 13 – 18 tahun
  • Statistik polis: 2007 – 1,837 kes jenayah dan 3,383 pelajar ditahan; 2008 – Meningkat kepada 2,218 kes dan 3,725 pelajar ditahan.
  • Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia, 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.
  • Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia – Seramai 295 pelajar terbabit dalam pelbagai jenayah sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini.
  • Kajian Universiti Malaya – masalah disiplin utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme.
  • Read Full Post »