Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘ganjaran’

HULU TERENGGANU (Harian Metro): Pengumuman kerajaan negeri menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mereka yang berjaya menangkap ikan Arapaima Gigas atau ikan naga di Tasik Kenyir mendapat sambutan hangat daripada kaki pancing.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati kesempatan cuti hujung minggu digunakan kaki pancing untuk ke tasik itu mencuba nasib.

Kehadiran kaki pancing juga memberi rezeki kepada pengusaha bot dan peniaga kedai makan di sekitar tasik seluas dua kali ganda Singapura itu.

Beberapa pengusaha bot menganggap tawaran berkenaan memberi rezeki kepada mereka selain mampu mempromosikan tasik berkenaan kepada pengunjung.

Pengusaha bot, Mohd Bidin Ibrahim, 45, dari Kampung Langgar, di sini, berkata dia bersetuju dengan ganjaran diumumkan kerajaan negeri itu bagi mengelak ikan kecil di kawasan tasik berkenaan pupus.

Katanya, memang sukar menangkap ikan Arapaima itu kerana sukar ditemui dan hanya berada di sungai tertentu saja di tasik itu.

“Walaupun hari ini (semalam) kita mendapati ramai kaki pancing masuk ke tasik ini tetapi tidak pasti sama ada ia bertujuan untuk menangkap Arapaima Gigas atau sebaliknya.

“Namun, saya percaya tawaran itu akan menjadikan kawasan Tasik Kenyir kini tumpuan pengunjung dan kaki pancing dari luar negara untuk mencuba nasib.

“Walaupun tidak ramai yang mempercayai ikan itu wujud di tasik ini, saya yakin ia ada kerana beberapa tahun lalu ada individu berjaya memancing ikan berkenaan,” katanya.

Rakannya, Maaruf Kassim, 41, dari Marang berkata setiap hujung minggu, tasik itu memang dikunjungi orang ramai yang datang untuk beriadah atau memancing.

“Sejak pagi tadi (semalam), 12 bot membawa kaki pancing dari Kelantan, Singapura dan Kuala Lumpur masuk ke kawasan tasik ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun keadaan itu tidak banyak berbeza berbanding hari sebelum ini tetapi percaya tawaran kerajaan negeri itu mendapat sambutan kaki pancing kerana tempoh menangkap ikan itu dibenarkan hingga pertengahan Ogos ini.

Read Full Post »