Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘gagal’

Pengguna kecewa sistem baru memburukkan keadaan

Peta laluan sehala [klik di sini]

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Langkah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melaksanakan skim laluan sehala di beberapa jalan utama di pusat bandar raya ini sejak April lalu untuk mengurangkan kesesakan tidak menjadi kenyataan.

Malah, tinjauan Berita Harian di di Jalan Batas Baru, Jalan Sultan Sulaiman dan Jalan Air Jernih mendapati, kesesakan trafik bertambah buruk berbanding sebelumnya terutama pada waktu puncak iaitu antara jam 8.30 hingga 10.00 pagi dan jam 3 hingga 6 petang.

Orang ramai dan pemandu kenderaan di sekitar bandar raya ini menunjukkan reaksi sama dan masing-masing bersetuju bahawa langkah berkenaan tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan trafik kerana terdapat beberapa kelemahan ketara dalam pelaksanaannya.

Rohaizi Yusof, 31, pekerja swasta dari Kampung Seberang Takir, berkata sejak jalan berkenaan diubah menjadi laluan sehala, kesesakan lalu lintas semakin bertambah berbanding sebelumnya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya.

Beliau yang perlu memandu melalui jalan berkenaan setiap hari untuk ke tempat kerja berkata, pada awalnya dia menyokong pendekatan itu kerana berharap masalah kesesakan dapat diatasi, tetapi akhirnya kecewa kerana masalah trafik menjadi bertambah buruk kerana pelaksanaannya tidak dibuat bersandarkan perancangan rapi.

“Jika kita mengamalkan sistem jalan sehala, kenapa perlu ada banyak lagi lampu isyarat di sana-sini. Ini yang menyebabkan kesesakan trafik yang semakin buruk, tambahan pula penguat kuasa tidak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang meletak kereta di tepi jalan,” katanya.

Pegawai bank, Mohamad Razali Ali, 39, berkata ketika rancangan jalan sehala diumumkan, dia menyokong cadangan itu kerana model jalan sehala yang diamalkan di beberapa bandar lain berjaya mengatasi kesesakan trafik dan berharap perkara sama berlaku di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, sangkaannya meleset kerana berdasarkan ada yang terpaksa dilaluinya setiap hari, keadaan trafik adalah jauh lebih teruk berbanding sistem jalan dua hala diamalkan sebelum ini.

“Saya terpaksa keluar rumah lebih awal dari dulu kerana perlu mengharungi kesesakan bermula dari Jambatan Sultan Mahmud hingga ke Jalan Air Jernih,” katanya yang juga mengaitkan kesesakan buruk itu dengan perancangan tidak sempurna.

Pekerja swasta, Noriza Aripin, 28, berkata sistem jalan sehala itu menyusahkan pejalan kaki kerana kemudahan seperti jejantas atau lintasan `zebra’ tidak disediakan.

Katanya, MBKT sepatutnya mencontohi negara maju seperti Singapura yang menitikberatkan kepentingan semua pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki dalam setiap pelaksanaan jalan sehala.

“Di Singapura, mereka membina terowong bawah tanah untuk kemudahan orang ramai melintas kerana jalan sehalanya luas dan kereta sentiasa bersesak-sesak boleh membahayakan pejalan kaki.

“Bagaimanapun, pada pendapat saya pembinaan jejantas sudah memadai dan saya harap MBKT dapat menyegerakan pembinaannya sebelum berlaku kejadian tidak diingini terutama di Jalan Sultan Ismail yang menempatkan banyak bank,” katanya.

Pendapat sama turut diutarakan peniaga gerai, Karim Ariffin, 40, dari Kampung Tok Jembal yang menggesa MBKT supaya menyediakan jejantas atau lintasan di jalan berkenaan secepat mungkin bagi mengelak kemalangan.

Dia berkata, kenderaan yang bergerak laju dan jalan sehala yang luas boleh membahayakan pejalan kaki terutamanya orang tua dan kanak-kanak.

“Saya sendiri berasa gerun untuk melintas di sini kerana semua kenderaan bergerak laju sehingga terpaksa menunggu lama untuk melintas,” katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Azhar Ahmad, 33, dari Kampung Durian Burung berkata, pelaksanaan jalan sehala tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan kerana ia berpunca daripada kekurangan tempat parkir kenderaan di pusat bandar.

“Dari awal lagi saya tidak menyokong pendekatan jalan sehala kerana berdasarkan pemerhatian, masalah sebenar kesesakan di bandar raya ini ialah kekurangan tempat meletak kenderaan.

“Tidak guna mengambil pendekatan jalan sehala atau membuka jalan sehingga empat lorong, tetapi kesesakan trafik masih berlarutan kerana pengguna jalan masih perlu berhenti di beberapa lampu isyarat dan kereta yang diletak secara haram di depan bank dan premis perniagaan,” katanya.

****************************

Artikel sebelum ini:

Read Full Post »