Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘fotografi’

SEORANG penyelam yang menyertai kategori fotografi dasar laut pada Perhentian Underwater Challenge di Pulau Perhentian, Besut, baru-baru ini. – IHSAN CORAL MALAYSIA


BESUT 30 April (Utusan Malaysia) – Ekologi dasar laut di Pulau Perhentian sudah lama menjadi tarikan kepada pencinta alam untuk menerokai dan menikmati keindahannya.

Kepelbagaian spesies unik terumbu karang yang menampung kehidupan di dasar laut menjadikannya antara keindahan dunia yang perlu dilihat sendiri oleh golongan tersebut.

Keindahan itu bukan sahaja boleh dinikmati oleh para penyelam, namun boleh disaksikan melalui aktiviti snorkeling.

Bagaimanapun, kawasan lain di serata dunia turut menawarkan keindahan dan keunikan yang tersendiri dalam menarik pengunjung.

Malah, Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu sendiri menjadi saingan dalam menarik tumpuan para penyelam untuk melihat keindahan dunia dasar laut.

Justeru, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT) mahu mencipta kelainan dengan mengambil pendekatan menjenamakan semula aktiviti menyelam di Pulau Perhentian dengan mempelbagaikan lagi programnya.

Pengurus Besar MTPNT, Ahmad Fathil Abd. Ghani berkata, pihaknya ingin menjadikan menyelam sebagai satu jenama di pulau itu dengan membuat penambahbaikan dalam aktiviti itu.

‘‘Sebelum ini, sememangnya Pulau Perhentian menjadi syurga menyelam kepada mereka yang berminat aktiviti tersebut.

‘‘Namun, dengan usaha penjenamaan semula aktiviti ini, para penyelam bukan sahaja akan datang menyaksikan keindahan dasar laut tetapi juga membuat aktiviti lain sambil menyelam,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, melalui penjenamaan semula, antara penambahbaikan yang dilakukan ialah membolehkan pengunjung melakukan aktiviti fotografi dasar laut, mencari harta karun di dasar laut dan melukis sambil menyelam.

‘‘Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dipelbagaikan dalam meningkatkan tarikan yang ditawarkan oleh Pulau Perhentian,” ujarnya.

Ahmad Fathil berkata, usaha itu juga akan meningkatkan aktiviti pelancongan di pulau berkenaan.

Beliau berharap aktiviti itu akan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk memulihara alam sekitar.

Jelasnya, buat permulaan, MTPNT mengadakan pertandingan selama tiga hari bermula 24 April lalu dalam memperkenalkan kepelbagaian aktiviti tersebut.

Katanya, pertandingan dinamakan Perhentian Underwater Challenge itu diadakan merangkumi pertandingan fotografi dasar laut, fotografi pemandangan, pencarian harta karun dasar laut dan melukis di dasar laut.

Pertandingan itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za‘abar Mohd. Adib.

Kira-kira 50 peserta termasuk dari luar negara menyertai pertandingan tersebut yang memberi peluang kepada mereka menyelam sambil melakukan aktiviti yang menyeronokkan di dasar laut

***********************************************

Menyelam sambil menikmati keindahan

BESUT 30 April (Utusan Malaysia) – Berbekalkan sebuah peta navigasi, pasukan penyelam dari Kuala Lumpur, James Ong dan Damian Lim muncul juara Perhentian Underwater Challenge kategori Mencari Harta Karun Dasar Laut.

Kedua-dua peserta itu berjaya menemui empat risalah Pulau Perhentian yang ditandakan dengan reben pelbagai warna yang disorokkan di pelbagai sudut kawasan pertandingan di sekitar Pulau Perhentian dalam tempoh 21 minit.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka berdua membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dan sijil penyertaan.

Dalam pada itu, lukisan penyu oleh ahli Coral Malaysia, Sham Hosni muncul juara bagi kategori Lukisan Dasar Laut.

Berbekalkan sejumlah krayon, Sham yang terserempak dengan seekor penyu ketika berenang di dasar laut, menjadikan haiwan itu sebagai inspirasi untuk menghasilkan lukisan berkenaan.

Lukisan dihasilkan di atas sehelai kain kanvas yang dibawa bersama ketika menyelam. Penyelam bebas memilih subjek di dasar laut untuk lukisan masing-masing.

Kemenangan itu membolehkan Sham membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan sijil penyertaan.

Hadiah-hadiah berkenaan disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Nasiah Patah dan Pengurus Besar MTPNT, Ahmad Fathil Abd. Ghani.

Kedua-dua aktiviti mencari harta karun dan melukis di dasar laut merupakan antara aktiviti tambahan yang menyeronokkan disediakan di Pulau Perhentian dalam usaha mencipta kelainan dalam aktiviti menyelam di pulau itu kepada pengunjung.

Keputusan untuk kategori pertandingan Fotografi Dasar Laut dan Fotografi Pemandangan akan diumumkan pada 30 April ini.

Menurut Nasiah, beratus-ratus gambar daripada peserta dan para juri diterima oleh pihak penganjur yang memerlukan masa untuk menilai dan mencari yang terbaik sebagai pemenang.

Katanya, kesemua gambar terpilih akan digunakan untuk menghasilkan risalah untuk menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu dan pulau itu.

Read Full Post »