Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘FAMA’

KUALA BERANG (Berita Harian): Walaupun bandar ini dikatakan terletak di kawasan hulu, banyak tarikan pelancongan yang unik terdapat di sini. Justeru, tidak hairanlah walaupun berstatus ‘hulu’, bandar ini masih mampu menarik kunjungan pelancong dalam dan luar negara saban tahun.

Bagi pelancong yang berkunjung mahupun bercuti ke sini, tidak lengkap sekiranya pulang tanpa membeli jagung sebagai ole-ole untuk rakan dan keluarga. Deretan gerai menjual jagung dan pelbagai jenis buah di Kampung Gaung di sini, memang terkenal sebagai tumpuan pelancong.

Namun, agak menyedihkan kerana keadaan gerai yang mula dibuka sejak 1990-an itu kelihatan semakin uzur dan memburukkan pandangan. Malah, tidak mustahil keadaan gerai yang usang itu mungkin menjejaskan ‘mood’ dan kehendak pembeli untuk singgah membeli jagung.

Menyedari hakikat itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memperuntukkan sejumlah RM60,000 untuk membekalkan set peralatan perniagaan termasuk khemah, rak dan bakul kepada 30 peniaga jagung di situ, bagi mewujudkan suasana perniagaan lebih ceria, bersih dan seragam.

Pengarah Fama Terengganu, Hasan Jusoh, berkata peralatan yang diberi secara percuma itu diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pembeli jagung, sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga dan menjadikan produk jagung keluaran penduduk setempat semakin popular.

Beliau berkata, keadaan gerai yang cantik, tersusun dan seragam akan meningkatkan imej peniaga di mata pembeli, sekali gus menjadikan Kuala Berang sebagai hab penjualan jagung terulung di kalangan pelancong yang berkunjung ke Terengganu.

“Jika kita lihat perbezaan selepas kelengkapan baru ini dipasang dengan sebelumnya memang jauh berbeza. Sebelum ini, mungkin ramai pengunjung tidak berminat untuk singgah kerana keadaan gerai yang kelihatan uzur, bersepah dan tidak menarik, tetapi kini suasananya lebih ceria dan berwarna-warni.

“Kita tahu, jagung adalah hasil tani yang sangat sinonim dengan Kuala Berang. Pendek kata, jika ada pelancong datang ke sini, mereka pasti mencari lokasi gerai ini untuk membeli jagung. Jadi, kita perlu pastikan imej gerai dan peniaga kita di tahap terbaik dan memuaskan untuk dikunjungi pembeli,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan peralatan gerai jagung di sini, baru-baru ini.

Seramai 30 peniaga menerima peralatan bernilai kira-kira RM2,000 seorang. Majlis penyampaian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Zawawi Ismail.

Sementara itu, Zawawi berkata, peniaga jagung di bandar ini perlu melakukan anjakan paradigma dan mengubah sikap dengan menjaga imej dan kebersihan gerai, apatah lagi dengan sasaran kerajaan negeri untuk menjadikan Kuala Berang sebagai hab jagung menjelang 2014.

“Peniaga kita kena ubah sikap… malulah bila pelancong datang tengok keadaan gerai kita yang nampak semak, kurang bersih dan tidak terurus. Oleh itu, kita perlukan kerjasama peniaga untuk pastikan gerai kita bersih dan menarik. Imej peniaga pun kena jaga, pakai baju cantik-cantik, kemas dan bagi yang perempuan pakailah gincu sikit.

“Kita tak mahulah apabila pelancong datang mereka kata ‘patutlah hulu pun’ kerana dia tengok keadaan gerai kita kotor dan usang. Kita mahu pelancong yang datang ke sini, rasa mahu datang lagi,” katanya.

Peniaga jagung, Halimah Ramli, 54, berkata, sebagai pengusaha gerai yang sudah lebih 16 tahun berniaga di situ, dia berterima kasih kepada Fama dan gembira kerana gerai di situ bakal berubah wajah dengan khemah dan bakul mempamerkan jagung yang seragam.

“Selepas ini, perniagaan pun jadi lebih mudah. Dengan adanya bakul khas ini, memudahkan kerja untuk mengangkut barang untuk disimpan selepas habis berniaga. Khemah juga cantik dan menambah keceriaan. Kami juga rasa lebih seronok untuk berniaga,” katanya.

Latifah Abdullah, 38, yang sudah lebih 15 tahun berniaga di situ berkata, dengan perubahan itu, beliau berharap prestasi perniagaan semakin meningkat dan dapat dikembangkan serta menjana pendapatan lebih memberangsangkan.

Advertisement

Read Full Post »