Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Ekonomi’

KUALA BERANG (Berita Harian): Pasar Raya Rakyat (T-Mall) yang akan dibina di bandar ini bakal menjadi mercu tanda perniagaan baru dan mengubah corak keusahawanan penduduk di daerah Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata pembinaan pasar raya dua tingkat berharga RM5 juta yang akan dikendalikan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) itu akan membantu rakyat memasarkan hasil keluaran pertanian, makanan dan produk kraf sekali gus menjana sumber ekonomi masyarakat tempatan.

Beliau berkata, reka bentuk bangunan dan tapak bagi pembinaan pasar raya berkenaan sudah di kenal pasti dan kerja pembinaan dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Pasar raya itu akan menjual barangan makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan dan kos operasi akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Dua tapak bagi pembinaan pasar raya itu sudah dikenal pasti dan kita sedang menimbangkan untuk memilih lokasi terbaik iaitu yang paling mudah dan senang untuk diakses oleh orang ramai,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Sahabat Usahawan Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Seramai 100 peserta terdiri daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga dan penjaja dari Hulu Terengganu menyertai program yang dianjurkan oleh YPU dengan kerjasama kerajaan negeri.

Hadir sama, Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Terengganu (DPMT), Datuk Tengku Ismail Tengku Jaafar dan Pengurus Besar YPU, Azmi Razik.

Rozi berkata, 70 peratus produk yang akan dipasarkan di T-Mall adalah berasaskan produk keluaran tempatan terutama dari PKS yang akan dibungkus dan dijenamakan semula menggunakan kepakaran YPU.

Katanya, produk PKS yang dipasarkan di T-Brand Shop iaitu kedai yang menjual produk Terengganu sepenuhnya yang dimiliki kerajaan negeri mendapat sambutan menggalakkan dan mencatat keuntungan memberangsangkan walaupun baru sebulan dibuka.

“T-Brand Shop yang dibuka di Kuala Berang mencatat jualan lebih RM1,000 sehari. Maklum balas yang diterima menunjukkan produk tempatan sememangnya mempunyai tempat tetapi perlu dipasarkan dengan betul dan meluas,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 22 Jun – Kerajaan negeri yakin industri andaman mampu memberikan pulangan lumayan asalkan mereka yang terbabit pandai mencari ruang dan mengambil peluang melalui pelbagai kemudahan teknologi masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Zaabar Mohd. Adib berkata, peluang itu termasuk mempromosikan produk mereka melalui emel, facebook dan blog yang boleh disebarkan ke seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, mereka diingatkan tidak lupa pada asas dan akar umbi dengan mengekalkan ciri dan nilai warisan seni seperti pelamin perkahwinan tradisi yang terbukti mempunyai 1,001 nilai falsafah dalam keghairahan mencari keuntungan dan rangkaian perniagaan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa membuka ruang untuk perbincangan dengan semua pihak termasuk persatuan dan organisasi dalam usaha mengetengahkan pertumbuhan pelbagai kesenian dan warisan budaya negeri.

”Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri agar seni dan budaya yang murni dijaga dan dikekalkan agar generasi akan datang terus dapat menghayati kehalusan seni serta budaya tinggalan orang terdahulu.

”Amatlah malang sekiranya warisan seni yang dibanggakan hilang untuk dipertontonkan kepada generasi masa kini, masyarakat luar khususnya barat mengenai kehebatan, keunggulan serta kreativiti pemikir orang-orang terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pameran Warna-Warna Pelaminan Malaysia di Serambi Mandalika, Kompleks Muzium Negeri, Bukit Losong di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Pameran anjuran Lembaga Muzium Negeri diadakan sehingga akhir bulan ini dalam usaha memperlihatkan pelbagai pelamin masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Zaabar berkata, pameran itu menampilkan satu dimensi khusus mengenai seni pelamin dalam majlis perkahwinan yang melibatkan adat istiadat sebahagian besar suku kaum di seluruh negara.

Katanya, melalui pameran itu, pengunjung dapat melihat dan mengenali bentuk, warna serta susun atur sesebuah pelamin daripada pelbagai kaum termasuk Iban, Baba dan Nyonya.

Beliau juga berharap pameran itu dapat dijadikan sebagai permulaan menyemai kembali benih-benih seni orang-orang terdahulu untuk dilihat oleh generasi masa kini yang kurang mengetahui mengenai nilai sejarah dan budaya.

Read Full Post »


JETI pelancongan Pantai Merang gagal memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Jeti pelancongan tidak dapat digunakan kerana muara cetek

PERMAISURI: Sejak 1996 pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk membangun dan memajukan kawasan Pantai Merang, dekat sini sebagai pusat ekonomi dan pelancongan yang berdaya saing namun usaha itu terus melalui jalan buntu.

Lebih RM22 juta sudah dibelanjakan bagi membangunkan prasarana, termasuk jeti pelancongan dan pendaratan ikan, jalan, benteng pemecah ombak, kaunter tiket dan gerai bagi kemudahan pengunjung ke Pulau Redang, bagaimanapun, kemudahan itu tidak kekal lama, sebaliknya hanya mampu bertahan selama dua tahun berikutan lokasinya tidak sesuai.
Jeti yang dibina pula tidak dapat digunakan disebabkan masalah muara sungai cetek dan pembinaan benteng pemecah ombak didakwa tidak bersesuaian menyebabkan kawasan laluan bot pelancong ditimbusi pasir.

Keadaan itu menimbulkan masalah kepada pengusaha bot pelancong dan nelayan untuk melabuhkan bot mereka berikutan keadaan muara yang cetek dan terpaksa menggunakan pangkalan kampung bagi melabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.

Kesan daripada masalah itu, kawasan jeti berkenaan menjadi sepi dan kemudahan disediakan terus terbiar sehingga kini kerana tidak dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

BENTENG pemecah ombak tidak diselenggara dengan baik mencacatkan pemandangan Pantai Merang.

Meskipun usaha mendalamkan muara di kawasan jeti itu terus dilakukan untuk memudahkan bot nelayan keluar masuk tetapi keadaan tetap sama apabila timbusan pasir terus memasuki kawasan jeti menyebabkannya terus menjadi menjadi cetek.

Tinjauan Berita Harian mendapati, banyak kemudahan yang disediakan di kawasan itu kini terbiar dan rosak manakala pengusaha bot pelancong dan nelayan terpaksa menggunakan muara sungai kira-kira 500 meter dari jeti sebagai tempat menaik dan menurunkan pelancong yang mahu ke Pulau Redang.

Seorang penduduk, Abdul Razak Ibrahim, 54, berkata kesan daripada masalah itu pengusaha bot pelancong menghadapi masalah kerana jeti yang dibina tidak dapat digunakan untuk tujuan berkenaan.

Katanya, keadaan itu memberi gambaran yang tidak baik kepada pelancong kerana mereka terpaksa menggunakan jeti yang tidak selamat dan tidak selesa sehingga memberi impak negatif terhadap pentadbiran negeri yang didakwa gagal menyediakan kemudahan pelancongan.

KEMUDAHAN gerai yang disediakan terbiar dan rosak kerana tidak dijaga.

“Sebagai penduduk di sini, saya merasa malu dan berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk membangunkan semula kawasan jeti yang terbiar untuk kemudahan orang ramai dan pelancong ke Pulau Redang ,” katanya.

Beliau mendakwa, pihak berkuasa sudah mengambil langkah mendalamkan muara itu dengan melakukan kerja menyedut pasir tetapi usaha itu tidak berpanjangan kerana mendapan akan berlaku semula setiap kali peralihan monsun atau musim tengkujuh.

Sehubungan itu, penduduk meminta kerajaan negeri mengkaji semula status jeti berkenaan dan mengambil tindakan untuk membangunkan semula kawasan itu kerana kos pembangunan di kawasan itu tinggi dan dianggap membazirkan duit rakyat.

“Projek Jeti Pelancongan Merang dianggap sebagai projek `gajah putih ‘ kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk setempat apatah lagi untuk pengusaha bot pelancong dan nelayan tempatan melabuh bot mereka,” katanya.

Penduduk, Ahmad Embong, 50, berkata, pengusaha bot pelancong terpaksa menggunakan jeti yang mereka bina sendiri di muara Sungai Merang manakala nelayan terpaksa melabuhkan bot mereka di tepi benteng muara sungai berkenaan.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan susulan untuk membangunkan kawasan jeti itu dan tidak terus membiarkan jeti itu terbiar dan berharap kawasan itu dapat dimajukan semula .

“Keadaan ini mencacatkan imej Pantai Merang yang sebelum ini memang terkenal sebagai sebuah lokasi pelancongan indah di negeri ini dan sering menjadi tumpuan pelancong,” katanya.

Read Full Post »

Penerbangan KT-Singapura mulai 14 Julai tingkat industri pelancongan

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Perkhidmatan penerbangan terus antara Kuala Terengganu-Singapura yang ditawarkan FireFly bermula 14 Julai depan, mampu menjana sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata, dengan kadar tambang bermula serendah RM88 bagi perjalanan dari Terminal Bajet Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, kerajaan negeri yakin bukan saja dapat menarik lebih ramai pelancong dari republik itu, malah pengunjung antarabangsa.

Katanya, dengan jadual penerbangan sekali sehari pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, ia dapat mempromosikan destinasi pelancongan di negeri itu, termasuk beberapa gugusan pulau yang sering menjadi tarikan pengunjung dengan lebih meluas, bahkan bakal menjana pulangan ekonomi lebih memberangsangkan kepada peniaga di bandar raya ini.

“Kerajaan negeri bersetuju menanggung kos cukai bernilai RM51 bagi setiap pelancong, selain bayaran pendaratan kapal terbang lebih RM100 bagi setiap pendaratan. Kita bersetuju untuk memberikan insentif ini kepada syarikat penerbangan, FireFly selama tiga tahun.

“Kita memilih Lapangan Terbang Antarabangsa Changi kerana mahu menarik bukan saja pelancong Singapura, tetapi juga daripada pelbagai pelosok negara. Kita melihat keupayaan lapangan terbang ini yang mengendalikan ketibaan lebih 32 juta penumpang setahun mampu merealisasikan hasrat Terengganu menjadi hab penerbangan Pantai Timur.

“Dengan penerbangan terus dari Singapura ke pusat bandar raya ini, pengunjung antarabangsa tidak hanya tertumpu kepada gugusan pulau saja, malah membantu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan seperti di Pasar Besar Kedai Payang dan menyuntik pulangan ekonomi lebih menggalakkan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat mengenai penerbangan terus Kuala Terengganu-Singapura itu oleh Pengarah Urusan FlyFirefly Sdn Bhd, Eddy Leong di sini, semalam. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.

Ahmad berkata, dari 3.5 juta jumlah pelancong yang melawat Terengganu tahun lalu, 90 peratus adalah pelancong tempatan, manakala 10 peratus lagi disumbangkan oleh pelancong asing dengan peratusan pelancong dari Singapura adalah yang terbesar.

Sementara itu, Eddy berkata, pengguna yang membuat tempahan tiket sepanjang tempoh promosi pengenalan dengan anak syarikat, Penerbangan Malaysia (MAS) itu sehingga 24 Oktober depan akan menikmati kadar tambang RM88, berbanding kadar pada harga biasa iaitu RM120 hingga RM150 seorang.

Read Full Post »

(Harian Metro) Di negeri Pantai Timur, khususnya Terengganu aktiviti mencandat sotong adalah kegiatan ekonomi nelayan sejak dulu. Pesisiran laut yang luas dan pulau berselerak di sekitarnya menjadikan aktiviti mencandat sotong dapat dilakukan.

Kini kegiatan ekonomi tradisional berkenaan muncul sebagai satu produk pelancongan yang unik dan menggamit pelancong untuk berkunjung ke Terengganu bagi melihat sendiri apa yang dikatakan mencandat sotong.

Mengikut kebiasaan masyarakat nelayan Terengganu, setiap tahun dalam pertengahan April hingga Julai adalah tempoh mereka turun ke laut untuk mencandat sotong.

Dalam masa itulah rakyat Terengganu dapat melihat kelipan lampu bot nelayan yang mencandat sotong di sekitar pesisiran pulau pada waktu malam.Usaha kreatif kerajaan Terengganu patut dipuji kerana mengambil langkah positif dengan menjadikan aktiviti mencandat sotong untuk menarik pelancong terutama domestik.Ia sekali gus mampu menjana peluang ekonomi bagi rakyat Terengganu. Bulan Candat Sotong 2009 yang dilancarkan pada 2 Mei lalu menjadi platform untuk mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Datuk Za’abar Mohd Adib, Bulan Candat Sotong 2009 dapat dijadikan produk tarikan pelancong, sekali gus membantu kerajaan negeri mencapai sasaran kunjungan pelancong untuk tahun ini.

Katanya, Bulan Candat Sotong 2009 akan dimeriahkan dengan Cabaran Candat Sotong dan Fiesta Musim Candat.

Kedua-dua program itu adalah pengisian sepanjang Bulan Candat Sotong 2009 yang kini diangkat sebagai ikon pelancongan utama di Terengganu setaraf Festival Pulau Pinang dan Pesta Lumut di Perak.

Inilah gambaran kesungguhan kerajaan Terengganu dalam usaha menjadikan sektor pelancongan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri itu.

Kini, usaha berkenaan semakin menampakkan kesan positif kerana Bulan Candat Sotong ditunggu-tunggu pelancong.

Sesungguhnya program Cabaran Candat Sotong dan Fiesta Musim Candat memberi peluang pelancong untuk mengetahui secara lebih mendalam mengenai cara dan peralatan digunakan dalam aktiviti mencandat sotong.

Kalau selama ini orang ramai hanya mengetahui melalui paparan maklumat dalam media atau buku, kini mereka boleh merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di samping mengetahui peralatan digunakan.

Ini sudah tentu pengalaman sangat berharga dan unik yang akan sentiasa terpahat dalam sanubari pelancong pada Bulan Candat Sotong berlangsung di Terengganu.

Malah, pelancong akan dibawa terus merasai pengalaman mencandat sotong pada waktu malam.

Aktiviti mencandat sotong yang dijadikan produk pelancongan sudah melonjakkan kegiatan ekonomi Terengganu dan rakyatnya turut merasai kesan positifnya.

Dengan jumlah kunjungan pelancong yang meningkat setiap tahun merancakkan industri homestay.

Kini dilaporkan setiap tahun dari Mei hingga Julai, perkampungan homestay di sekitar pesisiran pantai sentiasa penuh dan tidak dapat menampung permintaan tinggi daripada pelancong.

Disebabkan faktor itulah perkampungan homestay dibina bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Ini sangat positif bagi menjana pendapatan penduduk dan dengan kreativiti menganjurkan program mencandat sotong tentu akan menambahkan nilai kunjungan pelancong.

Limpahan nikmat hasil aktiviti pelancongan bukan saja membuahkan sumber ekonomi, tetapi menaikkan nama negeri itu di persada pelancongan negara.

Program mencandat sotong turut membawa kesan positif kepada industri pembinaan bot bersaiz kecil dan sederhana kerana perkhidmatan bot adalah komponen utama dalam aktiviti itu.

Bot itulah yang membawa pelancong ke laut dan merasai keseronokan mencandat sotong.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Jelani Hashim, berkata melalui aktiviti candat sotong, orang ramai akan menyewa sekitar RM700 untuk sebuah bot.

Katanya, ini memberi keuntungan kepada nelayan yang menyewakannya kepada pelancong.

Pelancong juga pasti akan berbelanja membeli peralatan mencandat, makanan sebagai bekalan dalam bot, penginapan dan pengangkutan di darat selain membeli ole-ole seperti keropok dan batik.

Dapatlah kita katakan usaha kerajaan Terengganu menjadikan mencandat sotong sebagai satu agenda utama pelancongan sangat tepat.

Kini, program mencandat sotong diaktifkan lagi dengan sokongan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Apa yang diperlukan ialah program diadakan di setiap daerah berpantai di Terengganu.

Tahun ini Cabaran Candat Sotong dimulakan di Marang (Pulau Kapas) kemudian diadakan di Dungun dan berakhir di daerah Kuala Terengganu.

Sepatutnya kawasan pesisiran laut daerah Setiu, Besut dan Kemaman wajar dieksploitasi semaksimum mungkin untuk memberi peluang pelancong luar mengenali daerah itu dengan lebih mendalam.

Mungkin ia menjadi kenyataan pada tahun akan datang jika kerajaan Terengganu dan pihak swasta dapat menyediakan perancangan program secara lebih terperinci.

Menurut Setiausaha Bahagian Dasar, Perancangan dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pelancongan, Mohd Halimi Ibrahim, apa yang perlu dilakukan ialah meyakinkan pelancong asing bahawa Malaysia sebuah negara selamat untuk dikunjungi.

Tentu kita juga yakin semua aktiviti pelancongan termasuk program mencandat sotong tidak terganggu dengan fenomena wabak selesema babi.

Di samping itu, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri harus lebih agresif mempromosikan program mencandat sotong bukan hanya untuk pelancong domestik, tetapi juga ditumpukan kepada menarik pelancong asing.

Read Full Post »