Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘ditipu’

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Seramai 30 wakil pengedar sebuah syarikat pembekal aplikasi perkhidmatan (ASP) membuat laporan polis kerana mendakwa ditipu kerana masih belum menerima perkakasan dan perisian dijanjikan biarpun selepas lebih setahun membuat pelaburan besar untuk menjadi ejen.

Wakil pengedar berkenaan, mendakwa masing-masing sudah melabur lebih RM100,000 merangkumi bayaran yuran keahlian, deposit pembelian perisian dan perkakasan serta kos mengubahsuai premis untuk menjadi ejen kepada SOAK Technologies Sdn Bhd, syarikat ASP yang kini masih belum beroperasi.

Pelaburan mereka merangkumi RM5,000 untuk yuran keahlian, RM10,000 untuk peralatan dan RM50,000 untuk aplikasi program, manakala pengubahsuaian pejabat mengikut keperluan masing-masing.

SOAK Technologies ketika dilancarkan pada 18 Januari 2008, adalah syarikat ASP terbaru di Malaysia yang memasarkan produk protokol internet (IP) jalur lebar mudah alih berteknologi tinggi.

, panggilan suara menerusi IP (VoIP) dan muat turun data berpandukan sistem dengan kelajuan hingga 2.3 gigahertz (GHz).

Bagaimanapun, sehingga kini mereka buntu kerana tidak dapat berhubung dengan pihak pengurusan SOAK Technologies sementara cek pemulangan wang yuran keahlian yang dihantar syarikat itu kepada beberapa wakil pengedar berkenaan tidak dapat ditunaikan.

Seorang wakil pengedar, Khairulnizam Ishak, berkata mereka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila tidak dapat menghubungi lagi syarikat itu.

“Kami mahu penjelasan dan mereka memulangkan semua wang kami. Sebahagian besar kami kehilangan wang simpanan untuk dijadikan modal perniagaan ini, malah ada antara kami yang mencagarkan tanah bagi mendapatkan pinjaman. Berikutan kegagalan syarikat beroperasi, kami mungkin muflis,” katanya selepas membuat laporan di balai polis Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Khairulnizam, 31, berkata laporan polis dibuat di Terengganu kerana pejabat operasi syarikat untuk melantik ejen berpangkalan di Dungun.

Bekas juruteknik dari Ipoh, Perak itu berkata, dia berhenti kerja dan melabur wang simpanan untuk menjadi ejen syarikat itu dan terbabit dalam bidang perniagaan berasaskan IT dan teknologi yang semakin mendapat perhatian rakyat seiring dengan perkembangan semasa.

Beliau mendakwa sudah menghubungi Ketua Eksekutif SOAK Technologies, Norhisham Mohamad Noor pada September 2008 untuk membatalkan perjanjian sebagai ejen kerana syarikat itu tidak beroperasi dan beliau bersetuju memulangkan deposit berkenaan dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun, sebulan kemudian, mereka mendakwa dihubungi syarikat dan dimaklumkan pemulangan deposit hanya akan dibuat pada November. Hingga kini pejabat syarikat itu di Kelana Jaya, Selangor sudah ditutup dan Norhisham juga tidak dapat dihubungi.

Ketika SOAK Technologies dilancarkan Januari tahun lalu oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Hilmi Yahaya yang mewakili Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, syarikat itu dilaporkan akan melabur RM200 juta bagi mengeluarkan produk jalur lebar mudah alih berteknologi tinggi.

*****************************

Posting berkaitan sebelum ini:

Advertisement

Read Full Post »