Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Desa Perantau’

SETIU 13 Julai (Utusan Malaysia) – Keunikan alam semula jadi di kawasan pantai di daerah ini mendorong sebuah syarikat swasta membina sebuah hotel bernilai RM122 juta di Pantai Merang di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib berkata, hotel yang menyediakan 190 bilik itu akan dikendalikan oleh Desa Perantau Sdn. Bhd.

Menurut beliau, hotel berkenaan akan dibina di atas tanah seluas dua hektar yang disewa daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Katanya, pembinaan hotel itu berhampiran dengan Terengganu International Equestrian Park (TIEP) Lembah Bidong di sini, dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi.

”Pembinaan hotel ini dijangka dapat mempertingkatkan sosial ekonomi masyarakat setempat.

”Hotel ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada 200 penduduk tempatan dalam pelbagai bidang perhotelan sekali gus dapat menjana industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hotel Eksklusif di Pantai Merang di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Za’abar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Diraja Sultan Mizan yang wakili oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Mohd. Fadzli Yusof dengan Desa Perantau Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Zainab Yusof.

Za’abar berkata, kerajaan negeri akan memperbanyakkan lagi produk-produk pelancongan terutama sukan lasak seperti kuda lasak dan Piala Monsun.

”Terengganu mempunyai pelbagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong terutamanya pelancong asing ke negeri ini setiap tahun.

”Ini dapat meningkatkan pendapatan sampingan masyarakat setempat selain mempromosi negeri ini di luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menjangka peningkatan kedatangan pelancong tahun ini kepada empat juta orang berbanding 3.53 juta pada tahun lepas.

”Kedatangan pelancong asing ke negeri ini meningkat dari semasa ke semasa kerana mereka tertarik dengan kegiatan pelancongan yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya.

Read Full Post »