Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘cegah maksiat’

Oleh Shaarani Ismail

shaarani@bharian.com.my

Lokasi panas remaja memadu kasih kini terbongkar, pihak berkuasa pantau 24 jam sehari

KUALA TERENGGANU: Menyedari tempat mereka ‘ringan-ringan’ sudah terbongkar, beberapa lokasi panas untuk pasangan gelap memadu kasih kini lengang, tambahan pula Penguat Kuasa Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menggiatkan pemantauan di pantai Tok Jembal, Teluk Ketapang dan Batu Buruk.

Pemantauan yang dijalankan 24 jam sehari juga menjadi antara faktor golongan terbabit tidak lagi melakukan perbuatan tidak senonoh kerana bimbang diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Tinjauan Berita Harian bersama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, Khazan Che Mat bersama-sama Unit Penguat Kuasa JHEAT bermula jam 11 malam hingga awal pagi kelmarin, mendapati beberapa lokasi yang dipercayai menjadi lokasi panas kini lengang.

Bermula dari Pantai Tok Jembal hingga ke Teluk Ketapang dan akhirnya ke Batu Buruk yang kelihatan hanya beberapa kumpulan remaja yang bersantai malah jumlah kereta berehat di sepanjang jalan dengan enjin tidak dimatikan juga tidak kelihatan seperti sebelum ini.

Mengulas keadaan itu, Khazan menjelaskan pihaknya menyedari banyak laporan diterima membabitkan kegiatan remaja berkelakuan tidak senonoh di kawasan berkenaan, justeru meningkatkan kegiatan pemantauan secara berterusan.

“Dalam banyak kes yang dikendalikan, pasangan ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh diberi kaunseling dan runding cara di pejabat JHEAT terdekat setiap kali operasi diadakan dan turut diminta hadir ke JHEAT untuk mengikuti program yang sudah dirancang.

“Walaupun tidak didakwa tetapi mereka diberikan pendekatan dakwah melalui kaunseling dan nasihat supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan kerana ia masih tetap salah di sini agama,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini, katanya, JHEAT membuat tujuh tangkapan, termasuk permulaan ke arah zina, berkhalwat dan tidak berpuasa.

“Lima kes membabitkan tangkapan khalwat dan masing-masing satu kes tidak berpuasa di khalayak ramai dan persetubuhan haram, tambahnya.

Ketika ini terdapat 15 penguat kuasa JHEAT yang terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita bertugas mengikut syif memantau di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti dengan dibantu kira-kira 21 sukarelawan yang diberi tauliah dan kad kuasa untuk melakukan operasi cegah maksiat.

Read Full Post »