Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘bumbung bocor’

KUALA TERENGGANU: Bumbung Stadium Tertutup yang terletak bersebelahan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, dipercayai bocor terutama pada pemegang cermin setiap kali hujan lebat.

Seorang pekerja pembersihan di Stadium Tertutup mendakwa tiga keping siling terjatuh secara tiba-tiba baru-baru ini, sedangkan ketika kejadian tiada hujan dan angin kuat.

“Apabila hujan pula, air masuk ke dalam stadium melalui cermin disebabkan menjadi pelapik cermin itu tidak dibuat dengan kemas. Malah apabila hujan lebat, kesan tanah dapat dilihat dengan jelas terutama di bahagian tangga,” katanya ketika ditemui, kelmarin.
Dia yang enggan namanya disiarkan berkata, pihak pengurusan perlu mengambil iktibar daripada kejadian runtuhan bumbung SMSZA Selasa lalu dan mengambil tindakan segera sebelum kejadian lebih buruk berlaku.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian mendapati empat kontena dijadikan pos pengawal ditempatkan di pekarangan SSMZA bagi mengawal kawasan yang semakin menarik tumpuan ramai dan mengelak orang awam menghampiri kawasan runtuhan.

Tinjauan mendapati pihak pengurusan stadium yang mengambil alih semula kawalan keselamatan di stadium berkenaan daripada polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), melantik syarikat pengawal keselamatan yang menempatkan dua pengawal di setiap pos.

Bagaimanapun, pos sementara yang baru diletakkan di empat penjuru stadium berkenaan petang kelmarin masih belum beroperasi sepenuhnya kerana belum dilengkapi kemudahan elektrik.

Pengawal keselamatan bukan saja bertanggungjawab menyekat orang ramai daripada menghampiri runtuhan bumbung stadium, malah dilihat mengiringi pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang meninjau kawasan kejadian kerana barangan pejabat dan sisa runtuhan masih belum dipindahkan sepenuhnya.

Seorang pengawal keselamatan yang bertugas di situ, Mohammad Sharif, berkata empat motosikal yang terperangkap dalam runtuhan sudah dikeluarkan petang kelmarin, manakala kereta Perodua Kancil dan sebuah jentolak yang tertimbus, belum dikeluarkan.

Advertisements

Read Full Post »