Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Bukit Tumbuh’

Syarikat Bumiputera lancar dua feri cruise

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Kaymarine Sdn Bhd (Kaymarine), syarikat pembuatan kapal dan bot laju milik Bumiputera di Pantai Timur, akan melancarkan dua feri cruise jenis ‘Catamaran Pontoon’ sepanjang 14 meter milik kerajaan negeri, di Tasik Kenyir pada 18 Jun ini.

Pengerusinya, Datuk Wan Md Albakri Md Noor, berkata feri bernilai hampir RM1 juta setiap unit itu mula dibina awal tahun lalu di dermaganya di Bukit Tumbuh dan mampu memuatkan seramai 60 penumpang pada satu-satu masa.

Beliau berkata, reka bentuk feri berkelajuan 15 knot itu direka khas untuk disesuaikan dengan aktiviti di ‘Island Hopping’ di Tasik Kenyir dan turut dilengkapi ruang pantri serta dua tandas mesra alam bagi kemudahan pelancong.

“Kami bangga kerana projek ini dapat disiapkan lebih cepat daripada jangkaannya iaitu hanya dalam tempoh enam bulan bagi pembinaan dua bot dan kita akan serah feri ini pada 18 Jun selepas menjalankan ujian selama empat hari bagi menguji kelajuan dan beberapa aspek yang perlu.

“Reka bentuknya pula adalah idea daripada Kaymarine sendiri selepas mengambil kira faktor bajet dan kesesuaian bot dengan lokasi yang akan ditempatkan. Feri berkonsep terbuka ini juga dilengkapi dua tandas mesra alam kerana ia tidak menyalurkan bahan sisa kumbahan terus ke sungai,” katanya selepas membawa kumpulan media melawat tapak pembinaan feri cruise di Bukit Tumbuh, di sini, semalam.

Wan Md Al Bakri berkata, Kaymarine yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam pembinaan kapal dan bot laju termasuk untuk pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mendapat kepercayaan daripada syarikat bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, kontrak terbaru yang ditandatangani membabitkan pembinaan kapal ‘DP Catamaran’ sepanjang 38 meter milik syarikat Seaworks Ltd dari New Zealand berharga RM27 juta dan akan ditempatkan di pelantar minyak di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, kapal berkelajuan 20 knot itu mula dibina pada awal tahun ini dan dijangka siap November 2010 dengan menggunakan 60 peratus bahan yang diimport, manakala selebihnya berasaskan material tempatan.

“Kami cukup berbangga kerana menjadi syarikat perkapalan pertama dalam negara yang menerima kontrak bagi pembinaan kapal seumpama ini dan ia adalah nilai kontrak terbesar pernah kami tandatangani.

“Kapal ini akan ditempatkan berdekatan pelantar minyak di Dubai dan berfungsi untuk pemeriksaan dalam air,” katanya.

Read Full Post »