Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Bukit Candu’

MARANG (Sinar Harian) – Menyedari kurangnya pendedahan dan pameran mengenai sejarah kemerdekaan negara, seorang peguam muda bertekad membuka Galeri Malaya 1941 untuk turut sama berkongsi detik bersejarah negara.

Menariknya, galeri yang dibuka di Pekan Bukit Payong, berhadapan dengan Balai Polis Bukit Payong ini adalah galeri berkisar mengenai kejadian dan detik suka duka perjuangan negara yang berlaku dari tahun 1941 sehingga 1942.

Pemiliknya, Anuar Adam, 40, berkata, pembukaan galeri ini diharap menjadi tarikan baru di Bukit Payong, berikutan belum ada tempat khusus untuk pelancongan di kawasan itu.

“Sebelum ini, pelancong hanya lalu sahaja di Bukit Payong dan lebih gemar ke Sekayu atau Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

“Tetapi, saya harap pembukaan galeri ini akan dapat menarik lebih ramai pelancong, terutama dari Britain, Australia, Amerika dan Jepun,” katanya.

Menurut Anuar, galeri ini tidak menumpukan kepada kekejaman penjajah, sebaliknya menekankan aspek semangat, perjuangan dan taktik digunakan,” katanya.

Paling menarik adalah model pertempuran di Bukit Candu, Singapura pada 14 Februari 1942 dan model pendaratan tentera Jepun di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa pada 7 Disember 1941.

Selain itu, pengunjung juga boleh melihat keadaan Tambak Johor yang sebelum ini pernah diputuskan dan akan diperlihatkan dengan sudut tayangan video peperangan, tentera yang menyerah kalah dan ratusan gambar bersejarah.

“Saya menghabiskan masa selama dua tahun mendapatkan bahan pelbagai sumber daripada Internet dan buku daripada pelbagai negara, antaranya adalah dari Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom” katanya.

Selain itu, dia juga mengambil masa yang agak lama untuk melengkapkan galerinya dengan pelbagai bendera yang bersejarah, antaranya bendera Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Selat, Union Jack, Bendera Jerman (semasa pemerintahan Nazi), Jepun, Tentera Laut Jepun (Rising Sun), Tentera Laut British (Royal Navy), Briged India, bendera Johor dan bendera Australia.

“Sasaran saya, pelajar dari seluruh negara dan saya harap mereka menghayati semangat perjuangan pejuang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam mendapatkan kemerdekaan negara kita.

“Selain itu, saya mengharapkan pihak muzium atau kerajaan negeri memberi sokongan terhadap usaha ini terutama dari segi promosi dan kewangan,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mengunjungi, bayaran paling minimum dikenakan iaitu RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.

Galeri ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pada jam 9 pagi sehingga 5 petang.

Advertisement

Read Full Post »