Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘bot pelancong’

Jeti pelancong di Pantai Merang, Setiu, Terengganu, terbiar lebih 10 tahun lalu akibat masalah air cetek. – UTUSAN/ADNAN MOHAMAD


SETIU 14 Mei (Utusan Malaysia) – Sejak 1996, kerajaan negeri berusaha memajukan kawasan Pantai Merang dekat sini sebagai pusat perlancongan yang berdaya saing.

Sebanyak RM22 juta dibelanjakan bagi membangunkan segala bentuk prasarana seperti jeti pelancong, jalan, benteng, kedai dan perhentian bas bagi kemudahan pengunjung.

Bagaimanapun kejayaan usaha itu tidak kekal lama, sebaliknya hanya mampu bertahan selama empat tahun apabila jeti pelancong itu tidak lagi digunakan.

Ini semua menimbulkan masalah kepada orang ramai serta bot pelancong kerana muara berkenaan terlalu cetek untuk bot lalu menjadikan kawasan itu kini sepi tanpa pengunjung.

Seorang penduduk di Kampung Merang, Ku Mansor Ngah, 48, berkata, akibat masalah itu para pengusaha bot pelancong tidak dapat menjalankan kegiatan mereka untuk membawa pelancong dari jeti itu ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.

Katanya, bot pelancong dapat menggunakan muara di jeti itu dengan sempurna dalam masa dua setahun sahaja dan selepas itu muara di situ semakin cetek.

”Kerajaan telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk memperdalamkan muara itu sebanyak dua kali bagi memudahkan bot-bot pelancong keluar masuk di kawasan itu.

”Bagaimanapun kerja-kerja seumpama ini tidak berhasil kerana sebaik sahaja muara itu siap dikorek ia hanya mampu digunakan sehingga dua bulan sahaja selepas itu ia menjadi cetek semula,” ujarnya.

Ku Mansor yang juga pengusaha bot pelancong memberitahu, masalah itu menyebabkan 11 pengusaha bot ketika itu berpindah ke jeti lain di Sungai Merang yang terletak tidak jauh dari situ.

Menurutnya, para pengusaha terbabit berbuat demikian apabila mereka mendapati pekerjaan serta pendapatan mereka sering terjejas akibat masalah muara di jeti pelancong.

”Sekarang mereka menggunakan jeti sendiri manakala jeti pelancong itu tidak dapat berfungsi dengan sempurna serta terbiar sehingga hari ini walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk mengatasi masalah itu,” ujarnya.

Seorang pemandu bot pelancong, Pati Asmara Daud, 49, berkata, kerajaan sepatutnya mengambil langkah tertentu untuk memajukan semula jeti berkenaan agar ia tidak terus terbiar.

Menurutnya, ia mencacatkan imej Pantai Merang kerana kawasan itu dijadikan sarang maksiat kepada golongan remaja.

”Kerajaan boleh memajukan lokasi sekitar jeti itu dengan projek-projek lain yang bersesuaian untuk memberi manfaat kepada masyarakat serta para pengunjung pantai ini,” katanya.

***************************************

Berita berkaitan:

Bakal dijadikan taman penyu – https://alamakademik.wordpress.com/2009/05/15/bakal-dijadikan-taman-penyu/

Read Full Post »