Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘baba’

KUALA TERENGGANU 22 Jun – Kerajaan negeri yakin industri andaman mampu memberikan pulangan lumayan asalkan mereka yang terbabit pandai mencari ruang dan mengambil peluang melalui pelbagai kemudahan teknologi masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Zaabar Mohd. Adib berkata, peluang itu termasuk mempromosikan produk mereka melalui emel, facebook dan blog yang boleh disebarkan ke seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, mereka diingatkan tidak lupa pada asas dan akar umbi dengan mengekalkan ciri dan nilai warisan seni seperti pelamin perkahwinan tradisi yang terbukti mempunyai 1,001 nilai falsafah dalam keghairahan mencari keuntungan dan rangkaian perniagaan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa membuka ruang untuk perbincangan dengan semua pihak termasuk persatuan dan organisasi dalam usaha mengetengahkan pertumbuhan pelbagai kesenian dan warisan budaya negeri.

”Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri agar seni dan budaya yang murni dijaga dan dikekalkan agar generasi akan datang terus dapat menghayati kehalusan seni serta budaya tinggalan orang terdahulu.

”Amatlah malang sekiranya warisan seni yang dibanggakan hilang untuk dipertontonkan kepada generasi masa kini, masyarakat luar khususnya barat mengenai kehebatan, keunggulan serta kreativiti pemikir orang-orang terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pameran Warna-Warna Pelaminan Malaysia di Serambi Mandalika, Kompleks Muzium Negeri, Bukit Losong di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Pameran anjuran Lembaga Muzium Negeri diadakan sehingga akhir bulan ini dalam usaha memperlihatkan pelbagai pelamin masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Zaabar berkata, pameran itu menampilkan satu dimensi khusus mengenai seni pelamin dalam majlis perkahwinan yang melibatkan adat istiadat sebahagian besar suku kaum di seluruh negara.

Katanya, melalui pameran itu, pengunjung dapat melihat dan mengenali bentuk, warna serta susun atur sesebuah pelamin daripada pelbagai kaum termasuk Iban, Baba dan Nyonya.

Beliau juga berharap pameran itu dapat dijadikan sebagai permulaan menyemai kembali benih-benih seni orang-orang terdahulu untuk dilihat oleh generasi masa kini yang kurang mengetahui mengenai nilai sejarah dan budaya.

Advertisements

Read Full Post »