Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘APMM’

KUALA TERENGGANU 29 Mei (Utusan Malaysia) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan asing bersama 15 awak-awak termasuk dua tekong kerana menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini semalam.

Pegawai Pemerintah Kapal Maritim (KM) Jarak, Leftenan Maritim Aidil Adzhar Saleh berkata, pihaknya mengesan bot pertama membawa tujuh nelayan Vietnam kira-kira pukul 7 pagi di 63.5 batu nautika dari timur Kuala Terengganu berdekatan Pelantar Minyak Semangkok.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat hasil maklumat daripada kakitangan pelantar minyak itu berhubung penangkapan ikan di kawasan berkenaan.

”Semasa melakukan rondaan, kakitangan terbabit mengesan bot nelayan itu yang tidak mempunyai nombor pendaftaran selain mengibarkan bendera Vietnam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu membawa nelayan Vietnam berumur 33 hingga 46 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan,” katanya di sini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas hasil tangkapan sebanyak 50 kilogram termasuk ikan dan sotong daripada bot tersebut.

Katanya, semasa mengiringi bot itu ke jeti APMM di sini, KM Jarak kemudian menemui sebuah lagi bot nelayan asing sedang menangkap ikan kira-kira pukul 8.45 pagi.

”Apabila kami mendekati bot tersebut, ia cuba melarikan diri dengan memotong pukatnya.

”Selepas kira-kira 20 minit mengejar bot itu, ia berjaya dikepung dan ditahan berdekatan Pelantar Minyak Semangkok iaitu kira-kira 72 batu nautika dari timur Kuala Terengganu,” ujarnya.

Aidil Adzhar berkata, bot kedua itu didapati membawa seorang tekong dan tujuh awak-awak warganegara Thailand berumur antara 30 hingga 60 tahun yang tidak membawa dokumen pengenalan dan permit menangkap ikan.

”Kami turut merampas hasil tangkapan sebanyak 70 kilogram daripada bot tersebut,” katanya.

Beliau memberitahu, kesemua nelayan asing itu akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda RM1 juta bagi tekong dan RM100,000 bagi seorang awak-awak, jika disabit kesalahan.

Read Full Post »