Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Amerika Syarikat’

KUALA TERENGGANU (Sinar harian) – Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, James R Keith mengiktiraf Taman Tamadun Islam (TTI) sebagai tempat yang menarik dan wajar dikunjungi pelancong dari seluruh negara.

Menurut Keith, keindahan Masjid Kristal dan keunikan ukiran seni bina replika masjid dari serata dunia yang terdapat di taman monumen ini mampu menggamit pelancong.

“Ini adalah lawatan pertama saya ke Terengganu khususnya ke TTI. Saya terpegun menyaksikan pelbagai seni bina bangunan yang terdapat di sini.

“Seni bina Masjid Kristal juga cukup unik dan saya percaya tempat ini akan menjadi salah sebuah kawasan pelancongan utama di negara ini,” katanya sewaktu mengadakan lawatan singkat ke TTI, Pulau Wan Man, di sini.

Dalam kunjungan singkat itu, Keith dibawa melawat sekitar taman, pusat konvensyen dan Masjid Kristal.

Sementara itu, Pengurus Kanan TTI Management Sdn Bhd, Mohd Khomsa Chik, menyifatkan pengiktirafan Keith sebagai satu penghargaan yang sangat bermakna.

“Pengiktirafan ini membakar semangat kami untuk bekerja lebih keras bagi menaikkan nama TTI pada arena antarabangsa.

“Kunjungan Keith ke TTI juga membuka peluang kepada kami menjalinkan kerjasama dengan AS pada masa akan datang,’ katanya.

Katanya, sebelum ini TTI juga pernah menerima kunjungan daripada duta Jepun, Jerman, Australia dan Arab Saudi sejak ia dibuka kepada umum tahun lalu.

Advertisement

Read Full Post »

Ahmad Said (kanan) menunjukkan gambar tempat-tempat menarik di Terengganu kepada James R. Keith sewaktu menerima kunjungan Duta Besar AS itu di pejabatnya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. – bernama


KUALA TERENGGANU 19 Mei (Bernama)- Amerika Syarikat (AS) akan meningkatkan hubungan dua hala dengan Terengganu terutama dalam menambah peluang pelaburan ke negeri ini.

Duta Besar AS ke Malaysia, James R. Keith berkata, pihaknya ingin mencari ruang untuk syarikat dari AS bagi meningkatkan pelaburan di negeri ini termasuk dalam industri minyak dan gas.

“Terengganu yang merupakan sebuah negeri yang indah, mempunyai banyak potensi pelaburan yang boleh diterokai oleh AS.

“Ketika ini, beberapa syarikat AS telah bertapak di Terengganu seperti syarikat minyak, ExxonMobil Exploration and Production dan kita berharap pelaburan seumpama ini akan dapat terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Keith berkata, AS juga berminat melabur dalam sektor pelancongan terutama ekopelancongan yang ditawarkan di negeri ini.

Beliau menambah, pihaknya berharap kerjasama dalam bidang pendidikan juga dipertingkatkan melalui peningkatan dua hala.

Ahmad pula berkata, kerajaan negeri menerima baik cadangan daripada AS untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.

“Kerajaan negeri berharap AS membawa lebih banyak pelaburan bagi membantu meningkatkan tahap ekonomi negeri ini.

“Kita juga berharap kerjasama ini terutama dalam bidang pendidikan dapat dipertingkatkan dalam memastikan Terengganu terus mencapai kecemerlangan dalam bidang berkenaan,” katanya.

Read Full Post »