Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Akademi Penerbangan’

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) — Kolej Islam Sains dan Teknologi(Kist) cawangan Terengganu akan memilih 16 pelatih bagi mengikuti pengajian sulung di Akademi Penerbangan KIST di sini yang akan dibuka September ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat Kist, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata akademi itu yang pertama seumpamanya di Terengganu dan kelapan dalam negara akan beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Beliau berkata pihaknya yang melabur RM20 juta bagi membuka akademi itu, menyediakan tiga pesawat latihan buatan Itali kepada pelatih-pelatih yang mengikuti pengajian itu.

“Kami akan ambil pelatih dua kali setahun. Pada peringkat permulaan, 16 pelatih yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kepujian dalam Bahasa Inggeris, Matematik serta Sains akan mengikuti latihan selama 18 bulan sebelum mendapat sijil.

“Bagi melatih pelajar, kami menyediakan lapan tenaga pengajar yang mahir dalam bidang penerbangan,” katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Tengku Putera berkata penubuhan akademi itu antara lain bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam industri penerbangan yang kini semakin diperlukan oleh syarikat-syarikat penerbangan sama ada di dalam atau luar negara.

KIST mula bertapak di Bachok, Kelantan sejak 2005, sebelum membuka cawangan Terengganu di Kuala Berang pada awal tahun ini dan menyediakan kursus-kursus berkaitan Sains Kesihatan.

Sebanyak 12 kursus yang ditawarkan di KIST iaitu Kejururawatan, Pembantu Perubatan, X-Ray, Sains Senaman dan Sukan, Teknologi Makmal Perubatan, Kesihatan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Terapi Cara Kerja, Pembantu Farmasi, Fisioterapi, Pengajian Syariah dan Psykologi serta terbaru bidang Penerbangan.

— BERNAMA

Read Full Post »