Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘ajaran sesat’

JERTIH (Berita Harian): Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menyiasat dakwaan penduduk Kampung Batu 13, Hulu Besut yang mendakwa melihat pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin atau Ariffin Mohamad sudah tinggal semula di kampung itu sejak sebulan lalu.

Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Sheikh Harun Sheikh Ismail, berkata pemantauan akan dibuat kerana sebelum ini banyak kenyataan seumpama itu dikeluarkan, tetapi siasatan mendapati pemimpin ajaran sesat terbabit tidak berada di perkampungan berkenaan.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai Ayah Pin, dipercayai sudah kembali semula ke pangkalannya di Kampung Batu 13, selepas menghilangkan diri sejak hampir empat tahun lalu apabila penempatannya dirobohkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Ayah Pin tidak lagi menganjurkan sebarang kegiatan songsang kerana kesihatannya tidak mengizinkan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata polis tidak melancarkan gerakan mengesan Ayah Pin kerana setakat ini dia bukan lagi ancaman kepada keselamatan negara.

“Justeru, langkah membendung gejala ajaran sesat termasuk yang dianjurkan Ayah Pin perlu dilaksanakan institusi agama seperti JHEAT,” katanya.

Tinjauan di Kampung Batu 13, mendapati penempatan Ayah Pin adalah kawasan tertutup dan tidak mudah dikunjungi orang luar walaupun markas pengikut ajaran itu sudah dirobohkan pihak berkuasa empat tahun lalu.

Ini kerana kawasan penempatan pemimpin kerajaan langit itu dikelilingi pagar kawat duri dan mempunyai pintu khas yang tidak boleh dimasuki orang awam kecuali penghuni tetap di situ.

Malah, pintu utama markas itu dihalang oleh beberapa batang kayu sebagai usaha penghuni di situ menghalang orang luar daripada memasuki penempatan yang masih mempunyai kira-kira 10 rumah.

Sebuah daripada rumah berkenaan dipercayai didiami Ayah Pin bersama isterinya.

Read Full Post »