Feeds:
Posts
Comments

Archive for October 2nd, 2009

SETIU, 1 Okt (Bernama) — Seorang pengawal keselamatan sebuah resort di Pulau Redang, di sini, terpaksa bertarung nyawa lebih 16 jam di laut apabila bot gentian kaca yang dinaikinya terbalik dalam hujan lebat dan angin kencang petang semalam.

Sepanjang tempoh itu, Marzuki Awang, 30, pengawal keselamatan Berjaya Resort di Pulau Redang terpaksa berpaut pada bahagian belakang bot berkenaan yang terbalik dalam keadaan laut bergelora sambil berdoa ada yang akan menyelamatkannya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam, Marzuki berkata beliau yang mengemudi bot berkenaan bersendirian baru berlepas dari Pulau Rendang ke Merang, dekat sini untuk menghantar barang.

Katanya sebaik sahaja tiba berhampiran kawasan Batu Rusa, kira-kira 15 minit kemudian, cuaca mulai berubah dan botnya mula dibadai ombak kuat dan hujan lebat, menyebabkan bot itu terbalik dan terapung di lautan.

“Saya sempat berpaut pada bot itu dan dalam masa yang sama cuba menghubungi rakan di Pulau Redang untuk meminta bantuan, tetapi malangnya telefon bimbit tidak lagi berfungsi setelah dimasuki air laut,” katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Menurutnya, setelah bersusah payah, beliau berjaya naik dan duduk di bahagian belakang bot berkenaan yang masih terapung namun tidak dapat berbuat apa-apa apabila bot itu dihanyutkan.

Katanya sepanjang tempoh itu, beliau tidak melepaskan pautan pada sisi bot berkenaan kerana bimbang tercampak ke laut berikutan ombak besar dan angin kencang.

“Sepanjang malam saya ada nampak beberapa bot nelayan lalu berhampiran dan saya berteriak meminta tolong namun keadaan yang terlalu gelap mungkin menyebabkan mereka tidak nampak saya,” katanya.

Beliau ditemui nelayan yang menyertai gerakan mencarinya kira-kira pukul 8 pagi tadi berhampiran Batu Bara, kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Kuala Terengganu Komander (M) Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.30 malam.

Beliau berkata dua buah bot penyelamat dihantar untuk gerakan mencari mangsa namun usaha itu gagal membuahkan hasil berikutan ombak besar yang melanda dan suasana gelap.

Syed Mohd Fuzi berkata usaha mencari mangsa termasuk oleh pihak polis dan Pasukan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sekitar tempat kejadian juga turut buntu sehinggalah mangsa ditemui oleh nelayan tidak jauh dari situ awal pagi tadi.

— BERNAMA

Read Full Post »