Feeds:
Posts
Comments

Archive for October 1st, 2009

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

RAJA Sidek Awang menyiapkan keranda bagi memastikan bekalan sentiasa cukup bagi memenuhi keperluan orang yang meninggal dunia di Kampung Padang Ujit, Manir, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 30 Sept. – Banglo, teres, flat malah setinggan merupakan kediaman bagi yang hidup. Namun bagi si mati pula, mereka juga turut mempunyai rumah.

Sinonimnya, rumah terakhir bagi si mati ialah keranda kerana bagi kebanyakan masyarakat keranda merupakan elemen terpenting dalam sesebuah acara pengkebumian.

Bagi masyarakat Cina dan India, jika seseorang ahli keluarga mereka mati, menjadi adat mereka untuk meletakkan mayat tersebut di dalam keranda bagi membolehkan ahli keluarga menziarahi si mati.

Juateru, kebiasaannya keranda yang menjadi ‘rumah’ si mati pastinya cantik diukir dan indah dipandang mata.

Namun bagi masyarakat Melayu, kebanyakan keranda hanya diperbuat daripada kayu biasa dan tanpa sebarang ukiran kerana kebiasaannya apabila si mati telah diletakkan di dalam keranda sudah tiba masanya untuk dikebumikan kerana bagi agama Islam lebih cepat dikebumikan lebih baik.

Walau apa perbezaannya, kepentingan keranda dalam melengkapkan pengurusan sesebuah pengkebumian amat penting kerana ia merupakan sebuah struktur untuk menampung si mati sebelum sampai ke kubur.

Namun tahukah anda, bukan semua di kalangan kita meminati kerjaya sebagai pembuat keranda ini.

Alasan kebanyakan muda-mudi masa kini ialah kerana pekerjaan ini tidak sesuai dengan jiwa mereka yang tidak gemar melakukan kerja-kerja rumit itu.

Wartawan Utusan Malaysia baru-baru ini berkesempatan menemubual seorang pembuat keranda di Kampung Padang Ujit, Manir.

Raja Sidek Awang, 60, yang telah berkecimpung dalam pembuatan keranda sejak lapan tahun lalu mengakui bahawa dia amat selesa melakukan pekerjaan berkenaan.

Walaupun membuat keranda bukanlah tugas yang mudah namun bagi Raja Sidek atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Pok Dik’ itu tidak pernah mengeluh dengan kerjayanya itu.

Keranda buatan Pok Dik cukup terkenal di sekitar kawasan Kuala Terengganu, Wakaf Tapai dan Paka.

Menceritakan bagaimana dia mula mengusahakan pembuatan keranda itu, Pok Dik memberitahu minatnya datang apabila melihat rakan-rakannya mengusahakan pembuatan itu.

“Saya sebenarnya memang mahir dalam pertukangan rumah memandangkan sejak muda lagi saya sering membina rumah penduduk di sini, jadi apabila melihat rakan-rakan membuat keranda jadi tiba-tiba datang pula minat untuk mencubanya.

“Setelah beberapa kali melihat cara-cara membuat keranda saya mula membuat sendiri di rumah.

“Dari sejak itu saya mula mengusahakan pembuatan keranda ini sehingga kini memandangkan ia sering mendapat permintaan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ujit dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, sehari dia hanya mampu menyiapkan dua hingga tiga buah keranda sehaja memandangkan usianya yang tua menghalang daripadanya bekerja terlalu lama.

Bagaimanapun, ujarnya, masalah utama yang dihadapi oleh pembuat keranda ialah sering kekurangan sumber kayu.

“Membuat keranda sememangnya sukar kerana memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menyiapkannya namun apa lebih sukar ialah apabila ketiadaan sumber kayu menyebabkan kadang-kadang tiada keranda yang dapat dihasilkan.

“Ini kerana hanya jenis kayu tertentu sahaja yang boleh digunakan seperti daripada jenis pokok durian, mangga dan sto,” jelasnya.

Tambahnya, purata harga sebuah keranda dijual bermula daripada RM90 hingga RM200 sebuah.

Ujar Pok Dik, rutin sehariannya yang bermula seawal pukul lapan pagi hingga lewat petang itu tidak terasa letihnya apabila mengenangkan keperluan terhadap keranda meningkat setiap hari.

“Setiap kali banyak tempahan yang dibuat, itu bermakna ramai yang akan mengisi ruang kosong keranda itu menyebabkan ia sentiasa mengingatkan saya tentang mati.

“Saya sering membuat keranda untuk orang lain, ajal dan maut saya entah bila…siapa pula akan membuat keranda untuk saya,” kata Pok Dik.

Ditanya mengenai kejadian pelik, ayah kepada dua orang anak ini hanya tersenyum sahaja.

Jelasnya, sejak dia memulakan tugas sebagai pembuat keranda, dia tidak pernah mengalami kejadian pelik.

“Tiada apa yang pelik. Yang hidup pastinya mati…jadi saya hanya berdoa semoga kerja yang saya lakukan ini dapat memberikan kesejahteraan kepada saya dan keluarga,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Read Full Post »