(Malaysiakini) Kumpulan ADUN Umno yang menentang menteri besar Terengganu bertindak memboikot perjumpaan antara mereka dengan barisan exco kerajaan semalam kerana beranggapan majlis itu tidak menjamin sebarang penyelesaian konflik yang semakin serius.
![]() |
Seorang daripada 15 wakil rakyat yang tidak hadir, termasuk Idris, berkata insiden boikot majlis yang disertai Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein “tidak pernah berlaku sebelum ini”.
ADUN Umno itu, yang enggan mendedahkan namanya, berkata tindakan tetap dilakukan untuk memberi mesej bahawa kepemimpinan Datuk Ahmad Said, sebagai menteri besar dan timbalan pengerusi perhubungan, sememangnya telah ditolak.
“Kalau setakat nak tunjuk muka, datang makan-makan, nak huha-huha baiklah kami tak payah pergi,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Perasaan tidak senang untuk menghadiri majlis itu kerana menteri besar sendiri tidak pernah mengambil sebarang usaha berjumpa dengan wakil-wakil rakyat yang mempertikai beliau, kata sumber lagi.
ADUN itu bagaimanapun menyambut baik kesediaan Muhyiddin untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut berkenaan
Katanya, mereka sendiri tidak dapat berunding dengan Ahmad yang didakwanya “memandang rendah” wakil-wakil rakyat BN untuk menguruskan DUN masing-masing.
“Menteri besar sekarang seakan berusaha untuk ketepikan wakil-wakil rakyat. Kalau betul nak berjumpa (semalam) untuk kukuhkan parti, kena berbincang betul-betul.
“Ahmad tidak pernah jumpa kami sebelum ini untuk bincang masalah-masalah ini,” tambah ADUN itu lagi.
“Kita menolak pemimpin-pemimpin negeri yang memandang rendah wakil-wakil rakyat seperti kami dan juga terhadap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan jawatankuasa penyelaras DUN yang kita lantik.
“Bila dia lantik pegawai-pegawai DUN yang tidak setuju dengan wakil rakyat, sebab itulah kita tengok perpecahan berlaku di kampung-kampung,” katanya lagi.
Berdasarkan kad undangan yang diterimanya kira-kira seminggu sebelum majlis, katanya, aturcaranya tidak menyebut agenda perbincangan berkaitan hal dalaman parti.
“(Agenda) itu tidak ada. Berkenaan itu (jika ada), saya tidak dijemput,” jelasnya.
***********************
Ramai ADUN Umno boikot Muhyiddin
kemaskini 5.07pm (4 Sep) Dua tokoh utama dalam kumpulan ADUN Umno Terengganu yang menentang menteri besar memboikot majlis untuk merapatkan barisan kepemimpinan negeri yang disertai timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Mantan menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha perhubungan negeri Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno bahagian Hulu Terengganu itu, lapor Bernama.
Ketika Umno negeri itu dilanda krisis berpanjangan, termasuk desas-desus sembilan wakil rakyatnya ingin melompat menyertai PKR untuk bergabung dengan lapan ADUN PAS, ketiadaan mereka menimbulkan pelbagai spekulasi.
Seorang daripada 15 ADUN yang tidak hadir itu mengesahkan kepada Malaysiakini petang ini bahawa mereka mengatur pemulauan majlis tersebut kerana ia tidak menolong menyelesaikan konflik dalam parti itu.
Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya Datuk Ahmad Said, yang juga menteri besar, hadir di majlis yang disifatkan sangat penting itu.
Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Muhyiddin dipetik berkata kunjungan dan perjumpaannya ini dengan pemimpin Umno negeri “adalah kritikal” bagi memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Sambil mengakui memang wujud krisis dalaman parti itu di Terengganu, Muhyiddin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau, yang juga timbalan perdana menteri, sendiri menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan dua kumpulan tersebut, antara pemimpin pro-Idris dengan pro-Ahmad.
Tambahnya, lapor agensi berita itu lagi, sebagai sebuah negeri yang disifatkan sebagai “kubu kuat” Umno selepas pilihan raya umum lepas, hubungan dan kerjasama antara pemimpin parti perlu diperkukuhkan kembali di Terengganu.
“Saya tidak melihat ia satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semua isu yang berbangkit, (melibatkan) hubungan antara kita… bukan ada orang luar nak kacau dan sebagainya.
“Saya melihat Umno dan BN perlu kukuh dan bersatu padu… Terengganu merupakan negeri yang penting kepada kita dan mahu kedudukan ini terus kekal. Sebab itu kedudukan politik dan parti amat mustahak diberikan perhatian,” katanya.
Muhyiddin juga percaya tiada wakil rakyat Umno di negeri itu akan
bertindak untuk keluar daripada parti itu kerana mereka merupakan pemimpin yang masih cintakan dan mempunyai semangat yang kuat untuk memperkukuhkan parti.
“Setakat ini, saya tidak dengar (ada pemimpin Umno hendak lompat parti). Saya tidak fikir mereka akan ambil langkah yang boleh merugikan parti,” katanya.
Muhyiddin percaya kemelut dalaman itu tidak akan mengancam parti kerana pemimpin-pemimpin yang terlibat hanya menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa perkara melibatkan Umno di negeri ini.
Ingatlah, pangkat dan kuasa hanya pinjaman semata-mata. Ianya tidak kekal. Tunaikan amanah yang telah ADUN janjikan.