![]() |
AHMAD Said (dua dari kanan) bersama dengan Che Azmi A. Rahman (kanan), Norlia Mat Yusof (tengah) dan Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (dua dari kiri) bersama repika cek masing-masing pada majlis penyerahan zakat perniagaan 2008 kepada Wan Harujan Sulaiman (kiri) di Wisma Darul Iman, semalam.
|
KUALA TERENGGANU 2 Sept. (Utusan Malaysia) – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) Terengganu mencatatkan jumlah kutipan zakat yang memberangsangkan iaitu RM29.9 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM26.8 juta dalam tempoh serupa, tahun lalu.
Beliau menambah dari segi agihan pula, sebanyak RM36.5 juta diagih pada sepanjang tahun lalu dan daripada jumlah itu, RM18.9 juta diagih dari Januari hingga Ogos tahun yang sama.
Sementara bagi agihan tahun ini, katanya sebanyak RM32.9 juta diagih untuk tempoh Januari hingga Ogos.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana walaupun keadaan ekonomi tak memberangsangkan, syarikat masih menunjukkan prestasi baik dengan menyumbang zakat,” katanya selepas menerima sumbangan zakat daripada beberapa syarikat di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sumbangan yang diterima ialah daripada Golden Pharos Bhd. (GPB) sebanyak RM150,000, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (RM150, 253.03) dan Maybank Etiqa sebanyak RM122,974.42.
GPB diwakili oleh Pengerusi Kumpulan Pengurusan Kayu-Kayan Terengganu Sdn. Bhd, Che Azmi A. Rahman; Ladang Rakyat diwakili Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Maybank Etiqa oleh Naib Presiden Eksekutifnya, Norlia Mat Yusof.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman.
Leave a Reply