Feeds:
Posts
Comments

Archive for August 31st, 2009

98 peratus kaki nombor umat Islam, termasuk kakitangan kerajaan

KUALA TERENGGANU: Ketiadaan kedai nombor ekor berlesen di Terengganu menyebabkan penganjur haram di bandar raya ini berselindung di sebalik kedai makan, restoran serta premis perniagaan lain bagi mengelak kegiatan mereka dikesan.

Malah, nombor ekor haram dijual di kedai gambar dan kedai membaiki motosikal bertujuan mengaburi pihak berkuasa terutama polis, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) daripada mengambil tindakan undang-undang.

Lesen perjudian empat nombor ekor dan loteri diharamkan kerajaan negeri pada tahun 2000, dan sebelum pemansuhan lesen itu, terdapat sekurang-kurangnya tujuh premis menjual empat nombor ekor di sekitar bandar raya ini.

Berikutan pengharaman itu, kedai empat nombor ekor haram bergiat lebih aktif di premis perniagaan lain terutama pada setiap Sabtu, Ahad dan Rabu.

Lebih malang lagi, hampir 98 peratus kaki judi yang mengunjungi pusat perjudian haram yang berselindung di sebalik restoran dan kedai makan itu terdiri daripada umat Islam, termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan.

Advertisement

Read Full Post »

Oleh Abdul Halim Yusoff
halem@bharian.com.my

BILA disebut Terengganu, pasti ramai di luar negeri bertuah ini akan terbayangkan penyu, keropok lekor, songket dan batik serta warisan seni budaya yang diterjemahkan menerusi ramai adiguru makyong, menora, dikir barat, pengukir kayu, tukang tembaga dan makanan tradisional yang enak serta warga yang ramah dan berbudi tinggi.

Ketika di sekolah menengah di negeri saya, Perak, perkenalan dan jangkaan saya terhadap negeri ini dizahirkan dengan lawatan dan kunjungan ke kilang pengeluaran batik, penenun songket, tukang tembaga, pertunjukan menora, makanan rasmi nasi dagang dan sebagai negeri penyu, kami tidak ketinggalan ke Rantau Abang, Dungun.

Fast Forward, 18 tahun kemudian, Terengganu menjadi ‘rumah kedua’ apabila saya ditukarkan untuk berkhidmat di sini, dan pertemuan dengan keropok lekor, budu, sotong celup tepung serta hidangan gulai lemak ikan kelah seperti menyatukan semula jejak yang hilang selama ini.

Sesudah 18 tahun, sudah pasti terlalu banyak perubahan dengan Terengganu dan paling mudah dikenal pasti ialah pembangunan terutama menerusi jalan-jalan yang semakin lebar dan cantik, bangunan dan kompleks baru termasuk beberapa stadium serba baru, walaupun satu daripadanya ditimpa petaka apabila sebahagian bumbung runtuh baru-baru ini, serta paling mengujakan monumen Islam dan binaan tarikan pelancongan di Pulau Wan Man.

Sejak lapan bulan di sini, saya sedar bahawa Terengganu sedang menuju untuk menjadi negeri yang meraih hasil utama dalam bidang pelancongan. Kerajaan negeri sudah menyusun strategi yang betul dengan komitmen pelaburan besar dalam bidang itu supaya pada masa depan Terengganu tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada royalti petroleum.

Selain pelbagai tarikan sedia ada, destinasi utama lain diberi perhatian ialah Tasik Kenyir yang mana kerajaan negeri sudah menyusun rancangan pembangunan secara keseluruhan membabitkan peruntukan RM500 juta. Rancangan pembangunan itu akan merubah tarikan di tasik buatan terbesar Asia Tenggara daripada sekadar tempat kaki pancing kepada satu destinasi pelancongan lengkap merangkumi taman tema air, pulau dengan tema tarikan berbeza, kereta kabel dan pusat beli belah.

Tahun lalu, sempena Tahun Melawat Terengganu, sejumlah 3.5 juta pelancong melawat negeri ini dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengunjurkan jumlah itu akan meningkat kepada empat juta tahun ini.

Begitupun, ramai juga peserta industri di negeri ini yang tidak yakin dengan pencapaian sasaran itu berikutan ketiadaan agenda atau komunikasi tersusun antara kerajaan dan pemain dalam merumus agenda promosi. Ramai yang mendakwa keadaan seperti yang dikatakan seorang penulis Amerika Syarikat, Truman Capote, ‘perbincangan adalah dialog, bukan monolog’.

Justeru, perlu wujud penyelarasan dan perancangan lebih kemas antara kerajaan dan pemain industri dalam menyusun kalendar acara dan rangka promosi bersama bagi menjual Terengganu kepada pelancong, sekali gus memastikan rancangan pembangunan prasarana diatur dapat memberikan pulangan yang dikehendaki.

Begitupun, peserta industri juga perlu lebih proaktif dan turut sama terbabit dalam usaha menjual produk yang disediakan dan tidak seharusnya terlalu manja dan mengharapkan sentiasa disuap kerajaan negeri. Mereka perlu mencontohi pengusaha di negeri lain terutama Sabah dan Sarawak yang mana pengusaha swasta melabur sama dengan menyertai festival pelancongan di dalam dan luar negara.

Seorang pengusaha pelancongan yang saya kenali mengakui bahawa kerajaan negeri sudah mengambil langkah bersesuaian untuk menyemarakkan sektor pelancongan. Antaranya memudahkan kemasukan menerusi penerbangan terus dari luar negara yang mana kerajaan negeri memberi rebat besar kepada syarikat penerbangan untuk yuran pendaratan dan parkir lapangan terbang.

“Kini sudah ada penerbangan terus dari Singapura ke Kuala Terengganu dan Kertih. Selepas ini akan menyusul dari beberapa negara lain termasuk China,” katanya.

Sebenarnya, usaha kerajaan negeri memajukan sektor pelancongan patut dipuji. Tetapi usaha kerajaan perlu juga disokong warganya. Kemasukan pelancong sudah tentu membuka rezeki besar kepada pelbagai kelompok pengusaha termasuk kedai makan, hotel dan pengeluar kraf tangan.

Malangnya, realiti yang tidak berapa enak di sini ialah harga bahan makanan mahal, terutama kepada orang luar (pelancong) yang tidak ‘kecek Teganu’. Saya sendiri mengalami dan cenderung untuk menyokong ‘generalisasi’ ini. Justeru, pengusaha kedai makan terutamanya perlu mengubah strategi menjual bagi mendapatkan ‘volume’ dan pelanggan berulang, bukannya bersikap sekali cekik ramai lagi pelanggan lain akan datang.

Selain harga makanan, sikap orang ramai dalam banyak keadaan turut menjejaskan usaha ‘menjual’ negeri ini. Menteri Besar sendiri pernah menegur sikap warga yang tidak menjaga kebersihan dengan membuang sampah merata-rata, waima jika ada tong sampah disediakan sekalipun. Jika perkara ini tidak dibendung usaha mewujudkan bandar yang indah akan sia-sia.

Seperti yang dikatakan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim, pelaburan RM8 juta setahun untuk membersihkan bandar raya ini kurang berkesan kerana mentaliti dan sikap sebahagian penduduk yang masih tidak berubah.

Ini mungkin yang sedang saya fahami sekarang bahawa orang di sini ramai ‘gong’ kepada orang luar, maka ini amat berbeza dengan tanggapan masyarakat luar terhadap negeri yang kaya warisan seni budaya Melayu ini.

Read Full Post »

Saidi Mamat, sibuk membaiki kasut di kedainya di atas Kompleks Stesen Bas MBKT, semalam.


KUALA TERENGGANU 30 Ogos – Ketika tukang jahit pakaian menerima banyak tempahan pelbagai baju untuk Hari Raya Aidilfitri, tukang membaiki kasut turut mendapat ‘tempias’ sama sempena kedatangan 1 Syawal tidak lama lagi.

Tukang membaiki kasut di tingkat atas Kompleks Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini tidak ‘menang tangan’ menerima pelanggan untuk membaiki kasut dan selipar mereka sejak seminggu lalu.

Malah mereka turut mendapat permintaan membaiki pelbagai jenis beg terutama beg tangan wanita.

Saidi Mamat, 41, ketika ditemui berkata, dia kini menerima kira-kira 30 pasang pelbagai kasut setiap hari sejak umat Islam mula mengerjakan ibadat berpuasa.

Katanya, permintaan untuk membaiki kasut termasuk menjahit bahagian koyak dan menggantikan tapak kasut meningkat sekali ganda setiap kali kedatangan 1 Ramadan.

Dia yang tinggal di Kuala Ibai di sini berkata, pelanggan masih ramai pada hari-hari biasa namun jumlahnya tidaklah sebanyak itu.

”Keadaan ini adalah perkara biasa setiap kali umat Islam akan menyambut ketibaan 1 Syawal. Para pelanggan ingin membaiki kasut mereka untuk dipakai pada hari raya nanti.

”Permintaan untuk membaiki kasut akan meningkat berkali ganda apabila semakin hampir Aidilfitri,” katanya yang berniaga di kompleks tersebut sejak 10 tahun lalu.

Saidi berkata, dia yang membuka kedai antara 9 pagi hingga 5.30 petang, kini terpaksa membawa pulang kasut-kasut tersebut ke rumah.

”Saya kini terpaksa membaiki kasut sehingga pukul 5 pagi bagi menyiapkan kasut tersebut,” ujarnya yang mengenakan caj antara RM4 hingga RM9 untuk menjahit kasut mengikut saiz

Read Full Post »

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

utusanterengganu2utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 30 Ogos – Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang gagal menjalankan tugas yang diamanahkan oleh kerajaan negeri sebagai wakil kepada rakyat wajar meletakkan jawatan mereka.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kegagalan mereka menjadi perantaraan yang baik antara kerajaan dengan rakyat, bakal merosakkan nama baik kerajaan negeri.

Katanya, jika perkara itu berterusan, apa sahaja bantuan dan sumbangan yang diberikan kerajaan negeri tidak akan sampai ke tangan rakyat.

“Saya amat kesal dengan tindakan sesetengah JKKK yang tidak menjalankan tugas seperti yang diamanahkan sehingga menyebabkan rakyat menyalahkan kerajaan kerana bantuan tidak sampai.

“Jika perkara yang tidak sebesar manapun tidak dapat dilakukan, lebih baik mereka meletak jawatan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Parlimen Kuala Nerus di sini hari ini.

Turut hadir sama ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya telah mendapat banyak laporan daripada penduduk tentang sesetengah JKKK yang tidak menyampaikan sumbangan buah kurma dan air zam-zam kepada rakyat seperti yang diarahkan.

Jelasnya, kebanyakan laporan melibatkan kawasan di sekitar Kuala Terengganu.

“Setiap JKKK perlu menyerahkan sumbangan tersebut dari rumah ke setiap rumah namun ada di kalangan JKKK tersebut memberikan sumbangan itu di masjid selepas selesai menunaikan solat tarawih.

“Ini menyebabkan ada yang menerima dan ada yang tidak menerima sumbangan tersebut malah ada yang menerima lebih daripada sepatutnya,” ujarnya kesal.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana JKKK yang menyalahgunakan amanah yang telah diberikan.

Read Full Post »